Chef Wan gembira kos kemoterapi RM250,000 ditanggung sepenuhnya syarikat insurans, carum sejak umur 24 tahun

Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, 65, gembira apabila kos kemoterapi RM250,000 ditanggung sepenuhnya syarikat insurans berkat dirinya mencarum sejak umur 24 tahun.

Beliau mendedahkan kos keseluruhan bagi proses kemoterapi yang perlu dijalaninya bermula hari ini di sebuah hospital swasta mencecah RM250,000.

Rasa syukur kerana dia tidak perlu menanggung kos tersebut disebabkan sudah membuat caruman insurans sejak berusia 24 tahun.

Saya gembira sebab 100 peratus kos perubatan saya ditaja oleh syarikat insurans. Sejak berusia 24 tahun saya sudah mencarum insurans dan sepanjang saya dimasukkan ke hospital sebelum ini pun, kos ditanggung oleh pihak mereka.

Bayangkan kalau batuk demam pun sudah cecah kos RM7,000 ke RM8,000 (masuk wad), inikan pula melibatkan jumlah puluhan ribu. Jadi bila kita sakit, hati rasa lega dan lapang.

Kos bayar premium tahunan pun tidaklah terlalu banyak berbanding kos yang perlu ditanggung semasa sakit.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram, hari ini.

Baru-baru ini Chef Wan memaklumkan dia perlu dimasukkan ke hospital bermula hari ini bagi menjalani proses kemoterapi pertama selepas disahkan menghidap kanser limfoma.

Chef Wan juga memaklumkan dia mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

Bagaimanapun Chef Wan turut menasihatkan orang ramai agar membuat perancangan kewangan sejak awal sebagai persediaan ketika di hari tua kelak.

Sebagai manusia, kita tidak akan sama sekali mengetahui risiko dijangkiti pelbagai penyakit atau menghidap penyakit kritikal.

Kalau anda mempunyai kehidupan yang baik semasa zaman muda, sudah tentu anda juga ingin kehidupan yang selesa ketika di hari tua kelak. Jangan ingat duit insurans ini tidak berguna masa kita tak sakit.

Di hari tua, sekiranya kita tidak sakit pun, akan dapat semula pelaburan yang dicarum selama ini.

Baca juga: ‘Auto sedap kalau yang jual popianya pun helok handsome’-Abang popia jadi tumpuan anak gadis