Menurut laporan dari laman berita Sora News hari ini, sebuah syarikat di Jepun telah mencipta sejenis penyembur udara yang mendakwa mampu menghilangkan tenaga negatif dari kehidupan seseorang.
Syarikat Oisesan telah mencipta penyembur udara yang diberi nama ‘Okiyome Shipo Spray’ (semburan garam) yang juga mempunyai bau yang wangi.
Walaupun penyembur itu awalnya dicipta untuk menghilangkan tenaga negatif, ia kemudian mendapat gelaran ‘semburan kematian’ selepas menerima ulasan yang menarik daripada pelanggan.
Seorang pengguna mendakwa bahawa apabila dia menggunakan semburan tersebut di tempat kerja yang toksik, syarikat itu kemudiannya mengalami kebankrapan.
Seorang pengguna lain memberitahu bahawa rakan sekerja yang menjengkelkan telah dipindahkan setelah dia menyemburkan produk tersebut di atas meja mereka.
Apabila berita mengenai penyembur itu tersebar, Oisesan kemudiannya memperkenalkan lebih banyak jenis penyembur udara, termasuk yang direka khas untuk membantu mencari pasangan hidup.