Rasa sungguh cepat masa yang berlalu rupanya lebih kurang seminggu sahaja kita akan bertemu dengan bulan syawal.
Awalnya, banyak yang bersemangat untuk memenuhi saf di masjid selama bulan Ramadan. Namun, pertengahannya, minat tersebut semakin berkurang, dan menjelang akhir Ramadan, lebih ramai yang berbaris di bazar Aidilfitri berbanding dengan yang beriktikaf di masjid.
Justeru, adalah penting bagi kita untuk melakukan perubahan dengan meningkatkan amalan kita, terutama di 10 hari yang terakhir bulan Ramadan ini.
Rasulullah berqiamulail dan mengejutkan keluarga
Terdapat riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh dan menggunakan peluang di 10 malam terakhir Ramadan dengan sebaiknya. Dari Aisyah RA, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuknya 10 terakhir Ramadan, baginda akan mengetatkan kain (bersungguh-sungguh beribadah dan tidak melakukan hubungan suami isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut berqiam)” [HR al-Bukhari, 2024]
Berdoa diterima amalan
Menurut Al-Hafiz Ibnu Rajab, para ulama senantiasa berdoa kepada Allah selama enam bulan agar diberikan kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan. Bahkan setelah berakhirnya bulan yang mulia ini, mereka terus berdoa selama enam bulan lagi agar Allah menerima amalan ibadah mereka.
Mencari malam al-Qadar
Malam al-Qadar adalah rahsia Allah yang melibatkan waktu dan ketika yang tidak diketahui. Para malaikat turun membawa rahmat atas perintah Allah kepada mereka yang menyucikan malam al-Qadar. Mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut dijanjikan oleh Allah untuk selalu berada dalam perlindungan-Nya dan akan dilimpahi dengan kebaikan tanpa ada kejahatan hingga terbit fajar.
Nabi SAW telah menggambarkan akan keadaan pada malam tersebut seperti yang diriwayatkan dalam beberapa hadis. Antaranya:
1) Matahari terbit tidak terlalu panas
Tanda-tanda kedatangan malam al-Qadar adalah matahari terbit di pagi hari dengan sinar yang tidak terlalu panas dan langit yang terhampar putih tanpa mendung, hujan, atau petir, namun suasana tetap sejuk. Penduduk bumi merasakan keindahan hari tersebut dengan cuaca yang nyaman, tenang, dan sejuk. Hal ini digambarkan dalam hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam ke-27 (dari bulan Ramadan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa sinar yang memancar” [HR Muslim, 762]
2) Malamnya sunyi dan terang
Pada malam tersebut, langit tidak berawan dan tidak turun hujan. Bahkan, bintang-bintang di langit tidak dapat disaksikan oleh penduduk bumi. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tanda malam al-Qadar adalah malam cerah, terang seolah ada bulan. Malam tersebut tenang dan tenteram tidak dingin tidak pula panas. Pada malam itu tidak adanya bintang sehingga pagi harinya. Dan sesungguhnya, tanda Lailatul Qadar adalah, matahari di pagi harinya terbit dengan indah, tidak bersinar kuat, seperti bulan purnama.” [HR Ahmad, 22765]
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Kerja syif malam tapi nak cari Lailatulqadar? Ikut nasihat ini, moga amalan diterima oleh Allah