Covid-19 akan meningkat selepas rakyat Malaysia pulang bercuti hujung tahun

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Berpuluh ribu memenuhi pantai-pantai dan destinasi percutian lain di seluruh negara meskipun amaran diberi berulang kali agar tidak melakukan perjalanan tidak penting berikutan kebimbangan peningkatan Covid-19, ketika negara sudah sampai ke penghujung tahun yang paling mencabar menyaksikan kehidupan harian dan perniagaan seluruh dunia terjejas.

Berlaku trend peningkatan pergerakan sejak awal bulan ini, apabila pihak berkuasa menarik balik larangan perjalanan rentas negeri walaupun kadar jangkitan harian terus meningkat.

Sepanjang sambutan perayaan Krismas, Lembaga Lebuhraya Malaysia, melaporkan keadaan lalu lintas di lebuh raya negara bergerak perlahan menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan di laluan-laluan utama.

Keadaan ini dijangka berlanjutan sehingga Januari, kerana kebanyakan keluarga mengambil kesempatan menggunakan peluang yang ada untuk melakukan perjalanan selepas beberapa kali perintah kawalan pergerakan dilaksanakan sepanjang tahun yang menyaksikan sekolah, pusat beli-belah dan tempat-tempat awam ditutup.

Beberapa pakar mengatakan tidak terkejut jika berlaku lonjakan kes jangkitan selepas cuti panjang hujung minggu lalu.

“Senario berlaku lonjakan kes pasca cuti dijangka berlaku selepas cuti perayaan apa sekalipun,” kata Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow kepada MalaysiaNow.

Hanya sehari selepas sambutan Krismas, kementerian kesihatan melaporkan satu lagi rekod kes harian tertinggi dengan 2,335 pesakit baru Covid-19 di seluruh negara, menguatkan lagi kebimbangan unjuran kumpulan penyelidik berpusat di Amerika Syarikat angka jangkitan akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa bulan akan datang mungkin menjadi kenyataan.

sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2020/12/28/covid-19-dijangka-meningkat-selepas-rakyat-malaysia-bercuti-hujung-tahun/