Seorang kanak-kanak perempuan di China menyerahkan diri kepada polis setelah mencuri wang sebanyak 800 yuan (RM512) milik ibu bapanya kerana didakwa ingin membeli snek.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa pada 22 Ogos yang lalu, Zhang datang ke balai polis di Ningbo, di wilayah Zhejiang, ditemani oleh bapanya.
Di balai polis itu, Zhang mengaku kesalahannya kepada polis.
“Ayah meminta saya datang menyerah diri,” kata Zhang.
“Kesalahan apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu datang untuk mengaku (kesalahan)?” soal dua anggota polis bertugas, Jiang Huoming dan Dong Zhuting.
Zhang mendakwa ibu bapanya mempunyai kedai runcit dan tidak membenarkan dia untuk menikmati snek kegemarannya kerana tidak mempunyai khasiat.
Dia yang menceritakan kisah itu mengatakan dia mencuri wang ayahnya lalu menyuruh rakan sekelas untuk membelikan snek kegemarannya itu.
Zhang telah mencuri kira-kira 800 yuan (sekitar RM512), tetapi muslihatnya terbongkar, yang akhirnya menyebabkan bapanya membawanya ke balai polis.
“Sebenarnya, saya hanya ingin beri dia (Zhang) pengajaran. Jika dia mengambil wang dari rumah sekarang, ada kemungkinan dia akan melakukan yang sama apabila besar nanti.
“Saya tak mahu anak saya terjebak dengan kejahatan,” kata bapa Zhang kepada polis bertugas.
Anggota polis yang bertugas memberikan nasihat kepada Zhang, yang kemudian mengangguk sebagai tanda pemahaman.
Zhang juga menulis surat sebagai tanda janji untuk tidak mengulangi perbuatannya lagi dan meminta maaf kepada bapanya.
“Saya tidak akan mencuri lagi wang ibu bapa saya, tidak akan menipu siapa pun, akan belajar dengan rajin dan berhenti bermain ketika di kelas,” tulisnya dalam surat berkenaan lengkap dengan tandatangan dan polis bertugas sebagai saksi.
Baca juga: Bimbang dinding bangunan runtuh, penjawat awam ini nekad bekerja pakai topi keledar