Cuti sakit selama 15 tahun, pekerja ini nekad saman IBM kerana tak naikkan gaji

Seorang lelaki yang bercuti sakit sejak dari tahun 2008 bertindak menyaman syarikatnya, lapor Lad Bibble.

Ia kerana lelaki tersebut tidak diberikan kenaikan gaji oleh majikannya yang juga sebuah syarikat gergasi teknologi IBM.

Ian Clifford tidak dapat hadir sejak 15 tahun lalu kerana keadaan kesihatannya.

Dia dan juga majikannya mencapai kata persetujuan dan dimasukkan ke dalam pelan kesihatan syarikat bagi mengelakkan dirinya dipecat.

Akibatnya, dia kekal sebagai pekerja dengan ‘tiada tanggungjawab untuk bekerja’.

Clifford berhak untuk mendapatkan tiga perempat daripada pendapatan yang telah disetujui menurut syarat-syarat pelan kesihatan syarikat. Dia telah menerima bayaran tahunan sebanyak £54,028 dan akan terus menerima bayaran tahunan tersebut sehingga mencapai usia 65 tahun.

Namun, dia bertindak menyaman majikannya kerana tidak mendapat kenaikan gaji selama sedekad lalu dalam keadaan ekonomi yang kian meruncing.

Pada Februari 2022, dia membawa IBM ke mahkamah tribunal atas dakwaan diskriminasi kesihatan, dengan dakwaan masalah kenaikan gaji.

Clifford mendakwa menjadi mangsa ketidakadilan syarikat dan tidak menerima kenaikan gaji seperti pekerja lain.

Bagaimanapun dakwaan beliau ditolak oleh mahkamah tribunal dengan alasan bahawa pihak IBM telah memberi beliau ‘faedah yang besar’ dan menerima ‘layanan yang baik’.

Baca juga: Hanya datang dengan tujuh ahli keluarga, wanita ini tersilap tempah seluruh hotel ketika bercuti di Bali