Hadiah untuk isteri berupa daging dan beras selepas selamat bersalin ini agak ‘rare’.
Namun, inilah dugaan hidup perit yang dialami mereka di wilayah yang tidak henti diburu dan dizalimi dan dibunuh sejak Oktober lalu.
Mereka yang masih bernyawa perlu meneruskan hidup yang begitu mahal ketika nyawa begitu murah di mata pengganas dan pembunuh rejim Zionis Israel.
Seorang bapa dari Palestin memberitahu dia menyediakan makanan itu yang mencecah harga lebih RM400 sebagai hadiah kelahiran buat suri hatinya.
Hamza Abu Toha, 29, bersyukur kerana dapat berbuat demikian selepas lima hari isterinya yang selamat bersalin.
Dia berkongsikan kisahnya itu dan memaparkan gambar berupa beberapa ketul daging dan sedikit beras menerusi catatan di aplikasi X.
“Ini (beberapa ketul daging dan sedikit beras) adalah rezeki daripada Allah selepas lima hari mencari di kawasan utara Gaza daging untuk isteri saya yang baru melahirkan bayi kami.
“Hari ini adalah seminggu umur anak saya, Ali dilahirkan. Saya sediakan makanan ini untuk isteri saya sebagai hadiah kelahiran,” katanya.
Menurut Hamza, seketul daging itu berharga AS$70 (kira-kira RM334).
“Anda mungkin melihatnya sedikit, tetapi seketul daging ini bernilai AS$70 (kira-kira RM334).
“Beras sebanyak ini bernilai AS$25 (kira-kira RM120). Tidakkah anda fikir nilai ini layak untuk dijadikan hadiah?” kata @hamzaabutoha lagi.
Pelajar di The Islamic University of Gaza itu juga dalam ciapan lain turut berkongsikan bagaimana dia sudah berusaha untuk mendapatkan susu buat bayinya.
“Sebelum Ali dilahirkan, saya berusaha untuk menyediakan susu untuk bayi baru lahir, tetapi saya tidak menemui apa-apa.
“Jadi, saya berkata mungkin pihak hospital pada hari kelahiran akan memberikannya susu.
“Selepas kelahirannya, isteri ingin menyusukannya, tetapi tiada air susu yang keluar kerana kekurangan zat makanan ibu.
“Saya pergi ke bahagian taska dan tidak menemui apa-apa. Saya pergi ke hospital lain dan tidak dapat mencari susu.
“Selepas tujuh jam, salah seorang wanita memberi saya picagari yang mengandungi sedikit susu di dalamnya.
“Kami di utara sedang terkepung,” kata Hamza lagi.