Dah ada yang mengaku bagasi berisi lebih setengah juta ringgit miliknya, netizen harap hulurlah ‘seikat’ kepada…

‘Misteri’ sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih berisi lebih setengah juta ringgit mulai terjawab.

Sebuah syarikat tampil mendakwa bagasi yang ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah dekat Damansara kelmarin adalah milik mereka.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat di Shah Alam oleh syarikat terbabit.

“Laporan polis sudah dibuat di mana dikatakan wang itu adalah milik syarikat.

“Jadi, siasatan sedang dijalankan polis untuk memastikan wang itu benar milik syarikat terbabit,” katanya, lapor BH ketika dihubungi pada 21 Mac malam.

Rata-rata berharap pihak syarikat terbabit akan menghulurkan seikat wang dari bagasi itu kepada pengawal keselamatan warga tempatan jujur yang menemui beg tersebut.

Kemunculan bagasi tersebut menarik perhatian orang ramai selepas pengawal keselamatan terbabit jumpa beg itu di tempat meletak kenderaan di premis berkenaan kira-kira jam 8 pagi, 20 Mac lalu.

Hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas RM50 dan RM100 yang dipercayai tulen dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Sebelum ini, pihak polis memaklumkan jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, pihak terbabit perlu membawa bukti-bukti berkaitan.

Namun, wang itu akan diserahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjutnya jika tidak dituntut.

BACA JUGA Pakai jubah lusuh tapi bayar zakat RM1 juta, amil terkejut ingatkan fakir miskin