Dah kenapa pula DAP kena ucap terima kasih kepada Pas? Nama Anthony Loke pun kena ‘petik’

Semua tahu Pas pada masa ini terperosok dalam blok pembangkang yang digelar Perikatan Nasional (PN) sekaligus musuh politik kepada DAP.

Namun, ada pula pemerhati politik dari Kelantan mendesak DAP yang merupakan komponen Kerajaan Perpaduan ‘belajar’ untuk mengucapkan terima kasih kepada Pas.

Apa sebabnya?

Wan Mahussin Wan Zain menerusi TikTok yang kemudian tular itu malah ‘mengecam’ DAP dan menyifatkan parti yang sinonim dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu sebagai sombong.

Lantaran sikap ‘sombong’ itu jugalah, kata Wan Mahussin yang merupakan ahli UMNO, parti Melayu tersebut tak pasal-pasal pula dicop barua DAP.

Seruan bernada sindiran itu juga diselang seli dengan kli petikan ceramah pemimpin Pas yang menyokong DAP semasa era tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

“Adakah kita tahaluf DAP, parti itu memerangi kita kerana pegangan agama kita? Jawabnya tidak.

“Adakah DAP menghalau kita dari kampung halaman? Jawabnya tidak,” kata Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang kini Menteri Besar Kelantan.

Dalam masa sama, Wan Mahussin menambah penyokong-penyokong Pas malah mengenakan pakaian berlogokan DAP selain berpurdah lambang DAP serta menggelar Lim Guan Eng sebagai Saidina Umar Abdul Aziz.

“Jadi, ucaplah terima kasih kepada mereka (Pas).

DAP ‘diingatkan’ agar tidak lupas sumbangan Pas.

“Hari ini Umno digelar barua DAP kerana anda (DAP) tak bersyukur dan tak menghargai jasa-jasa mereka (Pas).

“Hebatnya penyokong-penyokong Pas mendaulatkan DAP sehingga DAP diterima oleh orang Melayu dan ada kalangan pemimpin DAP juga terdiri daripada orang Melayu.

“Inilah jasa terbesar Pas kepada DAP. DAP, tolonglah ucapkan terima kasih kepada Pas. Kesian mereka,” tempelaknya.

Beliau turut berpendapat Pas tidak boleh menerima kenyataan mereka sekarang berada di pihak oposisi.

“Parti yang mereka (Pas) tolong, keluarkan dalil (menyokong), berikan penerangan akhirnya menjadi kerajaan meninggalkan Pas sebagai pembangkang.

“Kesian Pas, tau. (DAP) ucaplah terima kasih kepada Pas, Presiden Pas kerana jasa andalah, DAP disokong oleh orang Melayu.

“Terima kasih Pas. Buatlah macam tu. Anthony Loke, buatlah kenyataan sikit,” usik Wan Mahussin lagi.

Untuk rekod, Pas pernah menjalin kerjasama politik atau gemar disebut parti itu sebagai tahaluf siyasi dengan DAP menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Namun, hubungan politik itu akhirnya terlerai apabila Muktamar Dewan Ulama Pas pada Jun 2015 sebulat suara meluluskan usul tergempar iaitu membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

@wanmahussinbinwanzain

DAP ni memang sombong…tak pasal-pasal UMNO di cop baru DAP.

♬ Renungan Islami – Muhammad Hidayatullah

BACA JUGA Habis licin durian kampung yang sedap tiada bandingan, jual pun hanya RM12