Tergamak seorang suami ‘mencampak’ isteri nombor satu dan dua anaknya hingga mereka mengadu nasib di masjid seusai jemaah pulang dari solat tarawih dan tadarus.
Lebih zalim apabila sikap tidak bertanggungjawab si suami itu berlaku pada bulan Ramadan yang dijanjikan dengan keberkatan.
Ikuti perkongsian Ustaz Abu Hamizan ini yang meraih perhatian lebih 12,000 warganet mengenai sikap adanya lelaki berpoligami yang gagal menjaga amanah diberi:
Selesai solat terawih dan tadarus malam tadi (20 Mac 2024).
Di satu sudut masjid saya terpandang seorang wanita dan dua orang anaknya yang masih kecil.
Waktu itu, hanya ada beberapa orang sahaja jemaah lelaki yang datang ke masjid untuk qiamulail.
Kemudian wanita itu datang dan menyapa, “Ustaz, boleh tak saya nak minta izin untuk menumpang tidur di sini (masjid) untuk malam ni sahaja?”
Masa itu jam dah hampir pukul 12 malam, dengan anak-anak yang masih kecil dan hanya ada sehelai selimut sahaja.
Untuk kepastian, saya bertanya kalau wanita ini dari mana? Kenapa nak tidur di masjid? Anak-anak ini ayahnya di mana?
Jawapanya membuatkan saya terdiam seketika.
Kata ibu ini, dia baru dihalau dari rumah sewanya. Suaminya pula selepas kahwin baru langsung tak ambil kisah pasal keluarga. Subhanallah.
Dia pula tiada tempat untuk minta pertolongan memandangkan ahli keluarganya tinggal di Selangor.
Kemudian saya bertanya, kalau esok dah siang akak nak tuju ke mana? Akak ada duit tak untuk beli makanan kepada anak-anak ni?
“Tak ada duit ustaz” Jawabnya dalam keadaan malu.
Allahuakbar. Di tengah larut malam begitu agaknya ibu mana yang sanggup bawa anak-anak kecil sebegitu keluar tidur merata.
Macam mana kalau anak-anak itu tidur dalam keadaan lapar sedang saya mengetahui akan hal itu. Adakah saya akan berdosa?
Sebagai seorang Muslim bukan ke kita dituntut supaya mengasihi Muslim yang lain.
Sebelum saya beredar untuk pulang, saya cuba bantu sekadar yang termampu.
Dia minta izin untuk gunakan sedikit wang sumbangan untuk beli tiket bas dan bakinya untuk makan.
Syukurlah kalian yang masih ada tempat tidur, yang masih ada duit untuk berbelanja, yang masih mampu tersenyum dengan segala macam nikmat yang Allah kurniakan.
Doa saya semoga Allah bukakan jalan keluar untuk ibu ini dan anak-anaknya dari masalah yang dihadapi saat ini.
Untuk lelaki yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah, ingat lah, tak lambat dan tak cepat, balasan Allah itu ada.
BACA JUGA Usahawan viral dikecam guna sarung tangan ‘jamban’ gaul air asam, sekali KKM pulak komen