“Dah lima tahun tak nampak’- Jabatan Perikanan akui penyu belimbing kini diancam kepupusan

Sejak sekian lama, penyu telah menjadi khazanah negara yang tak tertandingi dan menjadi sumber kebanggaan bagi rakyat Malaysia. Kekerapan penyu-penyu ini mendarat di beberapa pantai di seluruh negara untuk bertelur telah meningkatkan daya tarikan industri pelancongan negara, menjadi tambahan nilai yang penting.

Pelancong luar dan dalam negara pasti ternanti nanti untuk melihat dengan mata sendiri kewujudan penyu yang ada di negara kita.

Terengganu menjadi salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelancong karena merupakan lokasi utama pendaratan keempat-empat spesies penyu untuk bertelur. Negeri ini menyaksikan kedatangan penyu belimbing, karah, lipas, dan juga agar ke pantainya.

Hal ini menjadikan Terengganu sebagai destinasi yang istimewa bagi para pelancong yang ingin menyaksikan momen bersejarah ini dan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di kawasan tersebut.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan bahawa Terengganu sedang mengalami kemerosotan pendaratan penyu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, salah satu daripada empat spesies penyu yang sering mendarat di sana, iaitu penyu belimbing, sudah tidak lagi kelihatan mendarat di negeri tersebut sejak lima tahun lalu.

Menurut data yang dikongsikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, kali terakhir penyu belimbing tersebut mendarat di Terengganu adalah pada tahun 2017, iaitu sebanyak dua kali.

Setelah itu, tiada lagi jejak penyu belimbing yang dikesan mendarat untuk bertelur di sekitar pantai Terengganu yang sebelum ini menjadi lokasi kegemaran mereka. Fenomena ini menimbulkan keprihatinan dan menunjukkan kemerosotan yang serius dalam pendaratan penyu belimbing di kawasan tersebut.

Dengan kehilangan penyu belimbing di Terengganu itu tidak mustahil boleh membawa kepada kehilangan spesies lain seperti karah dan lipas di negeri pantai timur tersebut.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, negara turut berisiko tinggi untuk hilang sepenuhnya spesies tersebut kerana kedua-duanya makin sukar ditemui.

Baca juga: Nak dating punya pasal, wanita ini sanggup putuskan bekalan elektrik seluruh kampung