Seorang pengunjung lokasi ‘kayangan’ yang terletak di Lata Kashmir Jeli, Kelantan kecewa kawasan yang sangat cantik itu teruk dicemari sampah termasuk ‘pampers’ anak.
Pengguna Facebook, Zamri Zakaria berkata, dia kecewa sampah begitu banyak bersepah sehingga mendorongnya mengutip sebahagian sampah untuk dibawa pulang.
“Sesiapa yang pergi kawasan ini tolonglah jaga kebersihan. Agak kecewa juga sebab sampai-sampai je nampak sampah banyak.
“Banyak pampers, plastik dan polistrin. Sebelum balik, kami kutip juga seberapa yang boleh,” katanya menerusi kumpulan Facebook Family Camping Malaysia.
Tambahnya, kawasan perkelahan itu memang cantik dan selesa serta tiada nyamuk sebaliknya meriah dengan kupu-kupu.
“Tidur bertemankan deruan air, fuh nyaman…,” katanya lagi sambil memberitahu jika pacak khemah dalam kawasan inap desa pun boleh dengan dikenakan hanya RM5.
Zamri memberitahu bahawa kawasan tersebut juga tidak terlalu gelap apabila malam kerana terdapat ‘spotlight’ dari Empangan Pergau dan inap desa berdekatan.
“Tandas boleh tumpang homestay punya tapi bayar RM1 setiap kali penggunaan,” ujarnya lagi.
Rata-rata netizen yang meninggalkan komentar berhubung sampah itu geram dengan perangai tiada kesedaran sivik.
Ada yang memberitahu mereka sendiri sentiasa membawa bungkusan plastik ke mana-mana pun sebagai persediaan agar tidak membuang sampah merata-rata tempat.
Bagi Ija Abdullah, dia mengingatkan pentingnya kaum ibu membawa bersama bungkusan plastik sementara nak jumpa tong sampah.
“Mak-mak yang suka buang pampers (merata) ni memang saya tak boleh hadam.
“Bawa plastik buang dalam plastik sementara nak jumpa tong sampah. Kadangkala tong sampah ada, diletaknya dekat sinki, belakang pintu.
“Tolonglah… be civilized. Sayang tempat cantik kalau tak dijaga,” katanya.
Hal sama turut dibangkitkan Dania Nur.
“Buat anak pandai tapi tak reti nak sediakan plastik dan buang dengan betul. Spesis bodoh tak bertebing,” katanya.
BACA JUGA Tak sangka Hawa Rizwana jenis terlajak lasak, ini larangan dihadapinya zaman belajar