‘Dah macam orang cari pen merata tak sedar selit celah telinga’ – Satu Malaysia heboh duit TH warga emas ini lesap, rupanya…

Kes seorang wanita warga emas di Sarawak ini samalah seperti orang yang kalut cari pen merata tempat tapi sebenarnya tak sedar elok ada terselit di celah telinga.

Itulah yang dialami oleh Datuk Jabidah Monseri, 66, yang sebelum ini heboh mendakwa rugi lebih RM30,000 selepas wang dalam akaun Tabung Haji (TH) miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.

Satu TH pastinya bergegar apa lagi pendeposit yang kalut melakukan semakan akaun.
Namun, rupanya, siasatan dilakukan TH mendapati dakwaan bekas pegawai kanan kerajaan itu tidak benar.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat TH, wang yang dikeluarkan daripada akaun TH pendeposit itu sebenarnya dimasukkan ke dalam akaun bank milik wanita itu sendiri.

“Merujuk kepada dakwaan transaksi tidak sah yang berlaku di Sarawak yang dilaporkan media hari ini (7 Mac 2024), siasatan TH mendapati transaksi pemindahan wang adalah daripada akaun TH pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Jabidah mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun TH miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.

Malah, katanya, wang yang lesap itu juga dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018.

Namun, beliau yang terlalu sibuk dengan kerja hanya menyedari kehilangan wang itu pada 30 November tahun lalu.

Jelasnya, selepas bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2017, beliau ditawarkan jawatan baharu.

Jabidah ditawarkan sebagai Pengerusi UNIMAS Holdings iaitu anak syarikat milik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Berikutan terlalu sibuk dengan tugas baharu, saya tidak mengemaskini akaun Tabung Haji, tambahan pula saya amat yakin dengan keselamatan wang yang disimpan di Tabung Haji.

“Pada tahun 2019, saya dilantik pula sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dan saya bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji,” lapor BH.

Hampir pengsan

Menurutnya, pada November tahun lalu, beliau terjumpa semula buku akaun Tabung Haji itu.

“Saya kemudian ke pejabat Tabung Haji di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun saya itu.

“Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74 sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000,” katanya.

Ujarnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.

Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).

Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.

Ekoran itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita di Kuching pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga 6 Mac lalu, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.

“Saya mengharapkan pihak Tabung Haji memberi maklum balas dan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan saya itu,” katanya.

BACA JUGA Duit RM1 lama sekarang bernilai RM10K, boleh beli rumah sebuah jika ada 10 keping