Ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati apabila mengetahui bahawa individu yang berusia hingga 35 tahun perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, walaupun program tersebut telah dimansuhkan pada tahun 2018.
Ia merupakan susulan kepada ciapan oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai @connerylazenby di aplikasi X yang memuat naik tangkapan skrin artikel dari media tempatan mengenai pengumuman itu.
Dalam artikel tersebut, media tempatan melaporkan bahawa PLKN baharu akan ditujukan kepada golongan belia berusia antara 16 hingga 35 tahun, kecuali pelajar yang berada di tingkatan lima.
Akibat daripada perkembangan tersebut, sebilangan besar pengguna media sosial sejak semalam telah meluahkan rasa tidak puas hati kerana peluang untuk dipilih menyertai program tersebut sangat tinggi, walaupun mereka sudah berusia 25 tahun ke atas.
“Kena ambil ‘unpaid leave’ (cuti tanpa gaji) atau kerajaan tanggung gaji? Kenapa sampai umur 35 kenapa tak sampai umur 30 tahun je? Umur 30 tahun ke atas itu dah fokus pada karier, keluarga, stabilkan kewangan dan lain-lain,” komen Ein.
“Macam melampau pula sampai usia 35 tahun. Boleh mula dengan budak baru lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu tak? Kalau kena pergi, keluarga yang tinggal kat rumah macam mana pula? Jangan buat polisi melulu, cuba dulu baru fikir,” komen Aina.
“Lebih baik fokus kepada ekonomi negara dulu daripada nak mula benda-benda pelik macam ini. Ingat orang yang umur 30-an tu tengah bersenang-lenang ke duduk kat rumah,” komen Nili.
“Nak pergi dah lama dah. Tapi bila dah besar-besar kena pergi, rasa semangat tu dah lain sikit,” komen Rosyidah.
“Dia kata belia dari usia 16 tahun ke 35 tahun. Wah saya masih belia! Tak sabar nak sertai PLKN,” ciap seorang pengguna.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan bahawa Fasa 1 PLKN 3.0 akan melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM). Silibus tersebut akan mencakupi pelajaran kokurikulum seperti kadet polis, kadet bomba, dan pengakap.
Menurutnya, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan daripada menjalani latihan dalam Fasa 1 untuk memberi laluan kepada mereka untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah yang sedia ada.