Dahsyat kelahi suami isteri sampai gempar KLIA, tak pasal-pasal orang lain kena tembak

Dahsyat betul perselisihan antara sepasang suami isteri ini sehingga menggemparkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan bunyi tembakan pada jam 1.15 pagi.

Rupanya, motif kejadian dipercayai cubaan bunuh terhadap seorang wanita tempatan yang juga merupakan isteri kepada suspek.

Namun, tembakan itu bagaimanapun mengenai orang awam lain dan suspek kemudiannya melarikan diri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian yang menggemparkan pengembara dan kakitangan KLIA itu berlaku di Balai Ketibaan Terminal 1.

“Seorang lelaki tempatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah wanita yang juga isterinya,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau menolak kaitan insiden itu dengan isu pengganas, ekstremis mahupun gangguan awam, sebaliknya ia berkaitan

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha memburu lelaki itu yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air sedang giat dijalankan.

“Ketika kejadian, suspek melepaskan dua das tembakan dan salah satu (tembakan) itu mengena mangsa.

“Dia cedera di perut,” katanya yang tidak mengulas lanjut kecederaan mangsa yang juga pengawal peribadi wanita berkenaan.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati suspek didakwa mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah, apabila tembakan itu tersasar.

“Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Akta Senjata Api,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.

Seorang wanita dipercayai berada di lokasi ketika kejadian memuat naik hantaran di Facebook, mendakwa mangsa yang terkena tembakan adalah pengawal peribadinya.

Dalam hantaran sama, individu itu memaklumkan sudah membuat laporan polis dan satu kenyataan rasmi akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

BACA JUGA Alamak Raya tempat T20 ni macam imbas memori pondok di estet, reban ayam lagi lawa