Kempen Blockout yang sedang hangat di negara Barat kini turut memberi impak di Malaysia. Beberapa artis tempatan telah menjadi sasaran netizen dan disenarai hitam, termasuk Daiyan Trisha. Artis ini telah dikecam berikutan penerbitan buku puisinya, dan terbaru, disenarai hitam sebagai penyokong Israel.
Daiyan Trisha tidak berdiam diri. Dia telah menghantar ciapan ringkas dengan beberapa tangkap layar yang membuktikan pendiriannya menyokong Palestin.
“Allah tahu,” tulis Daiyan dengan ringkas.
Salah satu tangkap layar menunjukkan kenyataannya yang sentiasa mengingati saudara Palestin, serta permohonan maaf jika tindakannya tidak selari dengan jangkaan ramai. Dia juga menyatakan bahawa hanya Allah yang mengetahui niat sebenar seseorang dalam melakukan sesuatu.
“Saya tak pernah sesekali lupa akan saudara saya di Palestine. Saya minta maaf jika cara saya tak bertepatan dengan cara yang anda mahukan.
“Tak apa, saya terima segala kecaman. Sila teruskan perjuangan anda untuk saudara-saudara kita di Palestine dengan pelbagai upaya, kerana itulah yang paling penting sekali.
“Ini cara yang saya termampu pada masa ini berdasarkan situasi dan keadaan. Saya minta maaf. Saya akan cuba untuk usaha lagi dengan lebih baik,” ujarnya.
Daiyan juga menyertakan dua gambar sumbangannya kepada tabung Palestin, masing-masing bernilai RM25,000.
Selepas ciapan tersebut, netizen mula memberikan kata-kata semangat dan menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mengecam seseorang tanpa asas yang kukuh.
Sejak kempen Blockout dilancarkan, ramai netizen menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka sebagai tanda solidariti terhadap saudara di Palestin.
Baca: “Geramnya tengok penuh warga Rohingya guna fasiliti klinik kerajaan”