Dakwa Godam Laman Web Kerajaan, Anonymous Malaysia Kini Ditahan Polis

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila penggodam yang dikenali sebagai Anonymous Malaysia mendakwa telah menyerang laman web kerajaan kerana tidak puas hati dengan sistem keselamatan yang lemah.

Lantaran itu, pihak polis telah memberkas 11 lelaki dalam serbuan berasingan di seluruh negara dipercayai terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan.

Menerusi laporan, mereka diberkas dalam tujuh serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang selepas melakukan risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun direman selama tiga hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan supaya mengambil langkah-langkah mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber. Malah, MKN turut memberitahu bahawa tindakan yang serius bakal diambil kepada mereka yang menjalankan aktiviti menggodam ini