Peguam Kamal Hisham Ja’afar mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay kerana didakwa menuduhnya menyamar sebagai peguam Istana Johor.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Jun lalu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang dikongsi dengan Malaysiakini, Kamal Hisham merujuk sidang media Ayob pada 22 April.
Ayob tidak menyebut namanya secara khusus, tetapi Kamal Hisham percaya ia merujuk kepadanya berdasarkan umur dan tempat tinggalnya yang disebut.
Menurut pernyataan itu, Ayob berkata peguam itu ditangkap pada 31 Mac 2011 dan pernah disabitkan atas beberapa kesalahan lain iaitu pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan kesalahan bawah Akta Syarikat.
Kamal Hisham menyifatkan perkara itu sebagai fitnah.
Berdasarkan tuntutan itu, Kamal berkata dia menjadi peguam kepada sultan Johor sehingga 2011 dan perkara itu disahkan pekeliling bertarikh 23 Mac 2011 kepada ketua-ketua jabatan di Johor.
Plaintif berhujah Ayob sepatunya membuat semakan rekod pasukan polis atau dengan mahkamah terlebih dahulu sebelum menyatakan, menulis dan menyiarkan perkataan-perkataan tersebut.
Perkataan-perkataan tersebut, dikatakan menyebabkan reputasi plaintif sebagai peguam serta ahli perniagaan rosak teruk dan plaintif dikatakan masih mengalami distres dan rasa malu.
Kamal Hisham menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan/atau punitif; termasuk faedah, kos serta perintah atau relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/580765