Dakwaan mengenai Forest City di sini yang mendapat kelulusan untuk pembangunan kasino adalah palsu dan tidak berasas.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menegaskan ia hanyalah dakwaan palsu yang ditimbulkan oleh pihak sama untuk menggagalkan pembangunan Forest City yang bakal dijadikan Zon Kewangan Khas (SFZ).
“Saya ingin menyentuh berkaitan cadangan pembinaan kasino di Forest City, ingin saya tegaskan sekali lagi berita berkenaan adalah fitnah liar dan tidak benar sama sekali.
“Ia tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk. Ia juga fitnah yang tidak masuk akal sekali melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemarkan imej Forest City.
“Ia juga mengulangi persepsi negatif untuk gagalkan Forest City yang dilakukan pihak tertentu seperti 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah,” katanya.
Sebelum ini, Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) telah mengemukakan pertanyaan mengenai kesahihan laporan beberapa media antarabangsa mengenai sama ada kerajaan negeri memberi kelulusan untuk pembangunan pusat kasino di Forest City.
Pada 25 April lalu, Perdana Menteri Malaysia turut menafikan bahawa kerajaan di bawah naungannya meluluskan kasino berlesen di Forest City, Johor.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan dakwaan Bloomberg yang melaporkan beliau bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Menurut laporan itu, turut berada pada mesyuarat itu ialah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay.
“Pada mereka (pemfitnah) suka saya nasihatkan cukup-cukuplah. Insya-Allah dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City.
“Ia (pembangunan Forest City) akan beri manfaat langsung dan tak langsung kepada Bangsa Johor dan Malaysia,” katanya.
Baca juga: “Angah hidup senang sebab anak dia semua mak jaga, bertahun jadi biawak hidup pun mak tetap sayang”