Dakwaan Kerajaan Gagal, Muslimat Pas kata rakyat yang gagal bantu kerajaan

Cukuplah tuding jari seolah kerajaan gagal, kata muslimat Pas. “Cukup-cukuplah menuding jari kepada kerajaan seolah-olah kerajan gagal tetapi pada masa yang sama merekalah sebenarnya yang gagal untuk membantu kerajaan,” kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Najihatussalehah Ahmad.

Beliau menempelak tohmahan sesetengah pihak mengatakan kerajaan gagal sedangkan katanya, segala sistem pentadbiran kerajaan walaupun dalam keadaan negara lockdown dan sebahagian lembah Klang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetapi pentadbiran kerajaan masih berjalan seperti biasa.

“Semua kakitangan awam walaupun terpaksa bekerja dari rumah, mereka semuanya dapat melaksanakan tugasnya sebaik mungkin sebagaimana yang telah diberikan.

“Sistem pendidikan dan sistem ekonomi kita walaupun dalam keadaan yang terhad tetap masih boleh berjalan.

“Semua sistem penjagaan kesihatan walaupun ada pihak-pihak yang cuba menularkan seriusnya keadaan kes Covid-19 di kawasan Lembah Klang tetapi sistem pengurusan kesihatan, sistem perubatan kita masih boleh berjalan,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada masa ini kerajaan sedang berusaha di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa kementerian untuk memastikan wabak Covid-19 ini dikekang.

“Fokus kerajaan dalam menghadapi pandemik adalah dengan melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan untuk mengurangkan kadar mobiliti terhadap rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah pelbagai penyakit kronik.

“Kita nak memastikan pemberian vaksin ini mencapai herd imuniti di dalam komuniti supaya lebih 80 peratus rakyat Malaysia mendapat perlindungan daripada Covid-19.

“Menerusi program pemberian vaksin ini kita hendak memastikan semua frontliner dapat dilindungi daripada wabak Covid-19,” katanya.

Kata beliau, walaupun negara masih mencatat kes harian yang ketiga tertinggi di antara negara-negara ASEAN, usaha kerajaan untuk memberikan vaksin kepada rakyat Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara Indonesia dan Filipina.

“Kalau kita tengok walaupun setiap hari sehingga ke hari ini jumlah kes Covid-19 masih lagi tinggi di Malaysia di mana semalam, pada 12 Julai kes Covid-19 masih berada dalam kes harian tinggi iaitu 8,574.

“Walaupun kita berada di tempat yang ketiga di dalam laporan catatan kes tertinggi, apa yang dapat kita bandingkan dari segi usaha kerajaan untuk memberikan vaksin kepada rakyat Malaysia dilaporkan pada 10 Julai ialah 10.7 peratus daripada populasi rakyat Malaysia sudah diberikan vaksinasi penuh berbanding dengan negara Indonesia yang hanya baru mencapai 5.5 peratus.

“Manakala dibandingkan dengan dua buah negara yang jumlah kes Covid-19 tinggi, Filipina hanya mencapai 3.1 peratus populasinya yang telah mencapai suntikan penuh.

“Bagi Malaysia sekurang-kurangnya jumlah rakyat Malaysia yang mendapat vaksin Covid-19, peratusannya adalah 23.9,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada semua kakitangan kerajaan yang telah melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin bagi membantu kerajaan untuk menguruskan negara ini.

“Mereka membantu kerajaan dalam menyokong segala usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Jadi sewajarnya kita rakyat Malaysia jangan mencari kesalahan atau kelemahan yang terdapat di dalam kerajaan tetapi tanya balik kepada diri apa sumbangan kita dalam memastikan negara ini berjaya menghadapi ancaman pandemik Covid-19?

“Ancaman Covid-19 ini bukan hanya berlaku di negara kita tetapi ia adalah bersifat global. Semua negara sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19, sudah sewajarnya kita sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, sukakan kesejahteraan, sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekang Covid-19.

“Sekurang-kurangnya kalau kita tidak mahu melakukan apa-apa sewajarnya kita tidak cuba menyebarkan berita-berita palsu, menularkan video yang memberikan suasana penik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/13/cukuplah-menuding-jari-kepada-kerajaan/