Dakwaan kualiti pingat emas Olimpik teruk, ini bahan yang digunakan buat pingat

Semalam tular mengenai kualiti pingat Emas sukan Olimpik 2024 yang didakwa sudah pudar dan rosak. Perkara ini didedahkan sendiri oleh atlet daripada Amerika Syarikat yan memenangi pingat emas.

“Pingat ini kelihatan seperti baru pulang daripada perang”, itulah keluhan dikongsikan oleh atlet papan selaju dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Nyjah Huston semalam.

“Baiklah, jadi pingat Olimpik ini kelihatan sangat hebat ketika ia masih baharu. Tetapi ia nampaknya tidaklah berkualiti tinggi seperti yang anda semua fikirkan.

“Selepas membiarkannya melekat pada kulit saya dengan sedikit peluh dan membenarkan rakan-rakan untuk memakainya pada hujung minggu, ia kelihatan sangat teruk,” katanya dalam satu hantaran video.

Menerusi rakaman itu, dapat dilihat kualiti pingat tersebut terjejas dengan sangat teruk walaupun baru seminggu ia dimenangi malah warna gangsa juga sudah tertanggal.

Bukan itu sahaja, bahagian belakang pingat itu juga rosak dengan begitu ketara sehingga sebahagian tulisan yang tertera di atasnya sudah tidak dapat dilihat secara jelas.

Jadi mari kita siasat berkenaanbahan yang dipakai untuk membuat satu pingat emas. Terdetik satu persoalan iaitu adakah ia diperbuat daripada 100% emas tulen?

Sebelum kita merungkai perkara itu, mari kita lihat elemen-elemen yang perlu ada dalam setiap pingat menurut Majlis Olimpik Sedunia (IOC).

Setiap pingat yang direka, ia perlu memaparkan ukiran Nike, dewi yang berdiri di hadapan stadium dan simbol Olimpik yang terdiri daripada lima cincin.

Lakaran dewi tersebut merupakan dewi orang Yunani yang berdiri di hadapan stadium Panathinaikos dan ia merupakan elemen utama yang wajib ada.

Sebab itulah jika kita lihat medal olimpik yang terdahulu, mesti wajib ada ukiran dewi yunani ini pada salah satu permukaannya.

Selepas ketiga elemen ini dipenuhi, rekaan serta hiasan pingat tersebut akan menjadi tanggungjawab tuan rumah bagi menyerlahkan kreativiti mereka.

Kebiasaannya, tuan rumah akan cuba untuk meletakkan budaya atau elemen negara mereka bagi menghiasi kalungan hadiah tersebut

Walaupun reka bentuk serta hiasan adalah tanggungjawab daripada tuan rumah, namun mereka perlu mengikuti spesifikasi daripada IOC dalam proses penghasilannya.

Setiap pingat mempunyai diameter 85 mm dan ketebalan dari 7.7 mm sehingga 12.1 mm. Pingat emas perlu mempunyai berat diantara 450 gram hingga 800 gram.

Bagi pingat perak, berat keseluruhannya ialah sekitar 550 gram, manakala gangsa pula sekitar 450 gram.

Bahan-bahan yang digunakan

Persoalan yang sering ditanyakan, adakah pingat emas diperbuat daripada 100% emas tulen? Jawapannya, tidak.

Hal ini kerana pingat tersebut sebenarnya diperbuat daripada perak tulen yang permukaannya disadurkan dengan emas melebihi 6 gram.

Bagi pingat gangsa, ia diperbuat daripada campuran 95% tembaga dan 5% zink, manakala pingat perak pula diperbuat daripada 100% logam perak.

Baca: Olimpik: Selalu tengok pemenang pingat Gangsa lagi gembira dari Perak, ini sebabnya