Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meminta Pengerusi Permodalan Nasional (PNB), Zeti Akhtar Aziz menjelaskan tuduhan yang dibuat oleh blogger Raja Petra Kamaruddin terhadap keluarganya.
Blogger tersebut baru-baru ini mendakwa keluarga Zeti menerima dana dari ahli perniagaan Low Taek Jho daripada penjualan bon oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), yang merupakan pendahulu 1MDB.
Zeti pada masa itu merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) manakala Low adalah dalang utama penyelewengan dana 1MDB melalui rangkaian pengubahan wang haram antarabangsa.
“Beliau (Zeti) yang kini menjawat jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB, dan apakah atas kapasiti sebagai Gabenor BNM beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik, “kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Zeti pada Julai 2018 menyatakan bahawa dia tidak tahu menahu mengenai berbilion ringgit dalam akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib pada Julai lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas penyelewengan dana yang dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Dia juga menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.
“Saya ingin menyatakan secara tegas bahawa dakwaan ini adalah palsu. Saya tidak mengetahui mengenai RM2.6 bilion ini yang dimasukkan ke dalam akaunnya, ”kata Zeti sebagai respons terhadap dakwaan Najib bahawa dia tahu mengenai dana itu tetapi tidak memberikan amaran.
Zeti mendakwa Najib pada 2015 memanggilnya ke pejabat ketika masih perdana menteri dan berusaha meyakinkannya untuk membersihkan namanya. Zeti berkata dia menolak permintaan itu.
Bagaimanapun Raja Petra membangkitkan semula dakwaan terhadap Zeti pada Isnin lalu dengan mendakwa keluarganya juga dikaitkan dengan penipuan Low, melalui akaun bank Singapura.
Najib juga membangkitkan dakwaan terbaru itu di media sosial dan mendesak agar Zeti memberikan penjelasan.
Malaysiakini telah menghubungi Zeti untuk memberi komen dan sedang menunggu jawapan.
“Beliau juga mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah, dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low,” kata Anwar.
“Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini,” tambahnya.
Anwar berkata pemerintah Singapura juga perlu memberi penjelasan kerana dakwaan tersebut memberikan imej buruk kepada reputasi republik itu.
Presiden PKR itu juga menegaskan individu yang terlibat dalam skandal itu mesti dipertanggungjawabkan.
“Kegagalan untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan.
“Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan. kebertanggungjawaban dan melawan rasuah.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557180