Damba Kasih 2022 kolaborasi Sufian dan Inteam. Sudah biasa untuk artis berkolaborasi dengan kumpulan nasyid setiap kali Ramadan.
Kali ini, Sufian Suhaimi menerima tawaran berkolaborasi dengan artis nasyid terkenal Inteam dalam single terbaharu mereka berjudul Damba Kasih 2022.
Menerusi single terbaharu yang juga ‘remake’ daripada lagu asal Inteam yang pernah diterbitkan pada 2003 itu, Sufian dan Inteam ingin mengajak peminat bermunajat dan bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah sempena kedatangan bulan keampunan ini.
Menurut Harian Metro, Sufian berkata, rakaman semula lagu Damba Kasih 2022 diberikan nafas baharu.
“Walaupun lagu ini adalah lagu lama yang diberi nafas baharu, pendekatan dari segi susunan muzik dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal. Namun, lirik taubat dan ketuhanannya tetap dikekalkan.
“Alhamdulillah, saya memang meminati lagu nasyid dan pernah menyanyikan lagu irama ini termasuk lagu dari kumpulan Inteam.
“Jadi, apabila ditawarkan bekerjasama dengan abang-abang Inteam, saya terus menerimanya dengan berbesar hati,” katanya.
Bagi Syahril atau nama sebenarnya Mohd Syahril Abdul Khalid, kerjasama diberikan oleh Sufian disambut baik, sekali gus membolehkan kolaborasi mereka terlaksana.
“Alhamdulillah, walaupun kita masih dalam suasana pandemik dan pergerakan yang agak terbatas, namun kami bersyukur dan berterima kasih kepada Sufian dan syarikat rakaman yang bersetuju untuk menjayakan kolaborasi ini.
“Kerjasama yang diberikan oleh pihak Sufian ketika sesi rakaman audio dan video muzik sangat baik. Nyanyian Sufian memberikan nafas baharu dan penghayatan terbaik untuk Damba Kasih versi 2022 ini,” katanya.
Lagu ciptaan Isman Hijjaz yang menggunakan nama pena Manis Helma dan lirik oleh Ito Lara dan Manis Alia ini adalah lagu berbentuk luahan penyesalan dan taubat seorang hamba.
Lagu ini pernah menjadi judul album dan lagu yang dimuatkan dalam album ketiga Inteam yang terjual melebihi 30,000 unit pada ketika itu.
Antara kolaborasi Inteam bersama beberapa penyanyi terkenal tanah air lain adalah menerusi lagu Mencari Sinar (Inteam dan Sam Bunkface), Jangan Menghina (Inteam dan Alif Satar) dan Setanggi Syurga (Inteam dan Khai Bahar).
Baca Juga: Rupanya ada sebab tak boleh pakai minyak wangi semasa hiking, boleh tarik perhatian makhluk halus