DAP kena terima hakikat gabung dengan Umno baru boleh menang, kata PKR

DAP perlu menerima hakikat jika hanya penggabungan dengan Umno adalah satu-satunya jalan untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Abdullah Sani.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, penggabungan dengan Umno adalah demi rakyat yang didakwanya sebagai mangsa “kerajaan yang gagal menguruskan isu Covid-19”.

“Memanglah belum bincang, tapi DAP kena terima,” kata Abdullah yang merupakan penyokong kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim kepada Mingguan Malaysia, akhbar edisi Ahad Utusan Malaysia.

“Kalau ambil kira apa yang berlaku di Perak, kita boleh kerjasama dengan Umno, kenapa kita tak boleh teruskan langkah kerjasama itu untuk menang PRU15 nanti?”

Abdullah mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat dengan perbincangan mengenai kerjasama politik antara PKR dan Umno.

Sebelum ini dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata PH boleh bekerjasama dengan Umno melalui konsep “khemah besar” yang dipersetujui gabungan itu semasa Ramadan lalu.

Konsep itu katanya, menerima hakikat bahawa PH semata-mata berpeluang untuk mengambil alih kerajaan pada PRU15 nanti, namun bersedia “menampung elemen di luar” gabungan itu.

“Kedudukan kerusi Parlimen PH yang menang PRU14 (sebelum insiden lompat parti), DAP ada 42 kerusi dan Amanah (11). PKR itu asalnya kita menang 48 kerusi tetapi dengan kemasukan ahli Parlimen Bebas kita ada 50 kerusi.

“Jika kita tidak kira yang masuk kemudian, 48 campur 42, itu sudah 90, campur Amanah sebanyak 11 kerusi itu sudah 101. Ini bermaksud kita hanya kekurangan 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi,” kata Saifuddin kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, itu merupakan pendirian PKR yang tidak mewakili PH.

“Dalam PH, ‘khemah besar’ yang kita maksudkan adalah keutamaan menyatupadukan semua parti pembangkang dan mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang sedia untuk menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi menamatkan darurat dan memulakan Parlimen dengan segera,” kata Lim kepada Mingguan Malaysia.

“Kalau khemah besar untuk mendepani PRU15, itu pandangan PKR, bukan PH. Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berhak menyatakan pandangan sedemikian untuk mewakili PKR.”

MalaysiaNow sebelum ini beberapa kali mendedahkan isu-isu berkaitan kerjasama antara PKR dan Umno.

Antaranya pada Oktober, MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara bagi menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Pada April, MalaysiaNow mendedahkan perbualan telefon antara Zahid dan Anwar selepas perhimpunan Agung Umno yang mengesahkan keputusan parti Melayu itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

Mengulas kenyataan Lim, Abdullah berkata walaupun penjajaran baru politik itu belum dibincang, sudah diberi gambaran apa yang perlu diusahakan dari sekarang.

“Itulah sebenarnya kekuatan jajaran baru yang kita nak. Kita sangat mengalu-alukan siapa sahaja yang nak bekerjasama dengan kita, bukan sahaja Umno, malah parti-parti lain juga,” katanya.

sumber : https://www.malaysianow.com/berita/2021/06/13/dap-perlu-terima-hakikat-hanya-bergabung-dengan-umno-boleh-tumbangkan-pn-kata-pkr/