Dapat duit berpuluh ribu pound tapi bayar denda RM26, wanita kantoi tipu hidap kanser ovari. Wanita dari London mengaut untung daripada derma orang ramai kerana mengadu dirinya memerlukan bantuan selepas menghidap kanser.
Menurut The Sun, Nicole Elkabbas, telah menjalani hukuman penjara dua tahun sembilan bulan pada tahun lalu selepas didapati bersalah menipu dalam kes pengumpulan dana atas talian yang kononnya bagi membiayai rawatan kansernya.
Satu rayuan palsu di sebuah halaman mendakwa wanita berkenaan perlu menjalani rawatan menyelamatkan nyawa untuk kanser ovari dengan berjaya mengumpul lebih £52,000 (RM280,739).
Guna duit untuk bercuti dan berjudi
Dia membelanjakan wang tunai tersebut dengan menikmati percutian mewah di luar negara dan memenuhi ketagihannya terhadap aktiviti perjudian.
Sejak penahanan Elkabbas, penyiasat kes mendedahkan dia berjaya mendapatkan wang terkumpul sebanyak £360,000 (RM1.9 juta) melalui eksploitasi jenayahnya.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Elkabbas hanya perlu membayar £5 dalam tempoh 28 hari akan datang kerana tidak mempunyai aset atau apa-apa prospek realistik bagi membayar balik jumlah keseluruhan.
Hakim Mark Weekes berkata, penipuan yang dilakukan adalah licik dan manipulatif.
Beliau turut menyifatkan tindakan Elkabbas sebagai satu penghinaan terhadap mereka yang benar-benar berjuang untuk melawan penyakit maut itu. – Agensi
Baca Juga: Boleh pula terlepas mata kail dalam kari ikan, wanita hanya terima diskaun RM0.60
Baca Juga: Alat tulis anak selalu sangat hilang, inisiatif guru ini bantu ‘selamatkan’ saku ibu bapa