Dari penggambaran drama Terjerat membawa ke kondominium mewah, dua selebriti ini dicekup JAWI, ini reaksi Aliff dan Ruhainies

Heboh diperkatakan dua selebriti yang sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama berjudul Terjerat dicekup di kondominium mewah awal pagi 9 Mac lalu.

Pelakon cantik Ruhainies ditangkap basah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas tuduhan berkhalwat bersama Aliff Aziz yang juga suami kepada Bella Astillah.

Bagaimanapun, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam InstaStory, dengan rendah diri ingin menepis beberapa dakwaan yang ditulis dalam laporan berita tentang kejadian tangkap khalwat itu.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara dalam berita penangkapan tersebut sebagai tidak tepat.

“Assalamualaikum. Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan dalam semua platform sosial media, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan yang kurang tepat telah tersebar,” tulisnya.

Dalam masa sama, dia tetap memohon maaf atas apa yang terjadi sehingga sehingga menimbulkan kekecohan dan namanya diperkatakan ramai.

Sehubungan itu, Ruhainies turut berharap agar segala spekulasi yang dikaitkan dengan dirinya dapat dihentikan sehingga dia sendiri memberi kenyataan bagi mengelak kekeliruan.

“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi.

“Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham. Insya-Allah,” tulisnya.

Sementara itu, Aliff Aziz tampil berjanji akan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku susulan kes tangkap khalwat bersama Ruhainies.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Aliff dalam InstaStory miliknya, dia berkata, kejadian tangkap khalwat yang heboh diperkatakan itu tidak seperti apa yang digembar-gemburkan.

Aliff yang dibebaskan dengan jaminan berkata, terlalu banyak spekulasi dan berita berlebih-lebihan disebarkan berhubung serbuan dan penangkapan yang dilakukan JAWI tersebut.

“Assalamualaikum kepada semua. Berdasarkan situasi yang berlaku sejak semalam, terlalu banyak spekulasi dan laporan berlebih-lebihan terhadap perkara sebenar apa yang telah berlaku.

Didi Astillah (kiri) bersama adiknya, Bella Astillah hadir di lokasi kondominium didiami Ruhainies.

“Tetapi saya faham, tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.

“Seharusnya, keadaan dapat dielakkan, tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelak lebih salah faham tentang apa yang terjadi,” ujarnya.

Kata Aliff yang telah beberapa kali curang terhadap Bella sehingga pernah bercerai pada 2019, tujuannya bukanlah untuk mengatakan dirinya tidak bersalah, tetapi sekadar ingin berkongsi kejadian sebenar untuk mereka yang mahu mendengarnya.

“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar, insya-Allah.

“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti, sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua. Insya-Allah,” ujarnya.

Awal pagi 9 Mac lalu, heboh dan sohor kini di media sosial berita mengenai Aliff dan Ruhainies dicekup berkhalwat dan bersekedudukan di sebuah kondominium mewah dipercayai kediaman Ruhainies sendiri.

Tangkapan yang dibuat Jawi difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.

Kekecohan penangkapan tersebut turut mengheret isteri Aliff, Bella Astillah bersama adiknya, Didi Astillah ke lokasi kejadian dan pejabat Jawi untuk urusan mengikat jamin.

Media melaporkan JAWI terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas Aliff Aziz dan Ruhainies enggan membuka pintu unit kondominium mewah itu.

Hampir tiga jam pasukan penguat kuasa JAWI berada di depan rumah milik pelakon wanita terbabit.

Dilaporkan, Aliff akhirnya akur selepas bomba mahu memecahkan pintu jika mereka enggan memberikan kerjasama.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10.30 malam itu, pasukan penguat kuasa JAWI tiba dengan dua van.

Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat JAWI dengan menaiki sebuah kenderaan lain untuk proses selanjutnya.

Aliff dan Ruhainies juga kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

BACA JUGA “Abang selalu elak tersentuh aku masa ada wudhu, rupanya baru tahu selama ni aku cuma anak angkat”