Darurat: Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu

YDPA Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Baginda memahami keperluan dan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman COVID-19, malah Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Perkara itu dinyatakan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Baginda menasihati rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

Berhubung peningkatan kes positif COVID-19, Baginda menasihati rakyat agar memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi SOP bagi membantu pihak berkuasa memerangi wabak ini demi keselamatan semua.

Petang semalam, Muhyiddin Yassin menghadap YDPA bagi memperkenankan perisytiharan ‘darurat’ selepas mendapat persetujuan Kabinet.