Datuk Mutang Tagal meninggal di IJN

Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi, hari ini di Institut Jantung Negara.

Beliau yang baru sahaja tiba di Malaysia pada 6 Mei lalu dari Azerbaijan telah menerima rawatan di institut jantung tersebut.

Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan diberitahu pada satu tarikh kelak.

“Keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Mutang Tagal, 70 tahun dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari lalu.

Mutang turut menjadi antara Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan juga turut berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak dan berkhidmat pada tahun 1982 hingga 1990.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan dan pemergian beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Baca juga: Mahu jaga hati anak-anak, Hisyam Hamid enggan perjelas status cerai