Derhaka pada Agong, Lim Guan Eng desak Takiyuddin dipecat

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dipecat daripada jawatannya kerana ‘derhaka’ secara terbuka kepada institusi beraja.

Ini selepas Takiyuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hanya menitahkan agar parlimen segera bersidang tanpa menetapkan tarikh yang tepat bilakah Dewan Rakyat perlu dibuka.

“Takiyuddin harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan derhaka secara terbuka terhadap raja dan harapan rakyat agar parlimen bersidang “secepat mungkin'” seperti yang dititahkan oleh Agong dan Raja-Raja Melayu semalam.

“Tindakan Takiyuddin memutarbelitkan titah ‘secepat mungkin’ dengan menyatakan Agong tidak menyatakan tarikh yang tepat atau bulan bila Dewan Rakyat harus bersidang, adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur,” kata Lim dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir berkata pihaknya akan membuat laporan membuat laporan polis berhubung kenyataan Takiyuddin hari ini.

“Berhubung dalih dan putar belit Takiyuddin berhubung titah YDPA, Pemuda PH akan buat laporan polis di IPD Dang Wangi petang ini.

“Kita gesa agar kebiadaban ini disiasat. #KerajaanBodoh,” katanya di Twitter.

Semalam, Yang Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam sebuah program bual bicara yang disiarkan di media sosial malam tadi berkata, Agong hanya menitahkan agar parlimen segera bersidang.

Katanya, baginda tidak menitahkan bilakah tarikh yang tepat untuk parlimen kembali dibuka.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/579341