‘Di luar sana bersepah lagi jantan biawak hidup’ – Ini 5 perkara yang kita perlu belajar dari kisah Datuk Red

Mengejutkan dan tumpang simpati apabila mendengarkan kisah Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu yang menggelarkan dirinya sendiri sebagai biawak hidup.

Rupanya Datuk Red sudah 5 tahun tiada kerja dan sepanjang tempoh itu ditanggung isteri nombor duanya, penyanyi, Adira Suhaimi.

Namun, sekarang Datuk Red sanggup menepis malu untuk meminta kerja menerusi TikTok selepas bergelut masalah pendapatan selain berhutang keliling pinggang.

Sebelum ini, ujarnya, sudah lima tahun dia melakukan bermacam-macam perniagaan tetapi tidak menjadi.

Walaupun begitu, Datuk Red masih tidak berputus asa untuk terus menceburi bidang perniagaan.

Ikuti pandangan SITI AISHAH buat renungan kita bersama ketika bulan Ramadan ini terutamanya golongan lelaki bergelar suami dan ayah:

Dari luahan Datuk Red kita belajar:

1 – Hidup ini tak selamanya kita di atas. Kadang bila di atas kita kerap terlupa pandang ke bawah. Kita rasa kita raja. Boleh beli semuanya.

2 – Kita rasa kita mampu kahwin dua, tiga. Mampu tampung 10 anak, dua keluarga. Apabila Allah uji, kita jatuh-sejatuhnya. Keluarga ke mana, rumahtangga binasa.

3 – Dalam hidup, mungkin kita pernah menyakiti dan disakiti. Apabila menyakiti, kita perlu sedar balasan itu akan datang harinya.

4 – Sebagai isteri, kalau kita pilih dan bersama pada waktu senang teguhlah berdiri juga pada waktu susah.

Apatah lagi apabila suami yang kita nikahi kerana cinta itu ada usaha untuk mengubah keadaan walaupun terlambat.

5 – Sepedih-pedih hati menghadapi ujian, ingatlah pedih lagi hati anak-anak yang menghadapi penceraian. Apatah lagi ketika bersama, satu jari pun tak pernah diangkat.

Apa pun, hiba juga melihat wajah sayu Datuk Red bercerita mengenai rumahtangga dan keadaan dirinya kini.

Saya yakin, beliau sekarang berada di tahap terbawah dalam hidupnya. Masa inilah dia kenal siapa kawan siapa teman.

Tak mudah untuk seseorang apatah lagi seorang lelaki, seorang suami, seorang ayah yang punya ego untuk menelanjangkan aibnya, mengakui kekhilafannya secara umum.

Apatah lagi mengakui dan menggelarkan diri sendiri sebagai biawak hidup. Mengaku hidup dengan makan duit bini selama lima tahun.

Padahal, di luar sana bersepah jantan sudahlah biawak hidup tapi masih nak dilayan macam raja dalam rumah, makan kena berhidang, bini balik kerja penat nak kena masak.

Semoga Allah membantu dan memudahkan semua urusan Datuk Red dan semua para suami yang berjuang, berpenat lelah, berusaha demi keluarga tercinta.

Anda semua adalah wira!

BACA JUGA “Terkejut bila isteri orang datang mengaku pernah terlanjur dengan suami, depan aku pijak semut tak mati”