Di Malaysia warga Bangladesh boleh kumpul banyak duit hantar ke negara asal, rupa-rupanya ini dia punca ramai yang tak tahu

Kita berasa hairan mengapa di Malaysia warga Bangladesh boleh kumpul banyak duit bahkan boleh pula hantar ke negara asal. Mereka makan sikitkah? Tak ada tanggungan?

Setiap hari jutaan kumpulan pekerja pendatang asing, baik yang hadir di bumi Malaysia secara sah atau tidak sah bertungkus-lumus bekerja membanting tulang mencari rezeki.

Walaupun bekerja dalam bidang yang kurang lumayan seperti pembinaan, pembuatan, buruh atau operator kilang, rata-rata kumpulan pekerja pendatang asing mampu menghantar ribuan ringgit pulang ke tanah air.

Ramai juga di antara mereka berjaya membuka perniagaan sendiri di negara asal, menaikkan taraf hidup sendiri dan keluarga. Kenapa mereka yang hadir di Malaysia mampu berbuat demikian, sedangkan warga tempatan biasanya susah nak menyimpan secara berkala?

Berikut 5 sebab utama situasi ini boleh berlaku, bukan saja di Malaysia bahkan melibatkan mana-mana kumpulan pendatang asing di seluruh dunia.

  1. Mereka boleh fokus kepada kerja

Satu perkara yang tidak boleh kita sebagai warga tempatan lakukan secara 100% secara konsisten, adalah memberikan fokus kita hanya kepada pekerjaan dalam mencari rezeki.

Ini kerana kita masih perlu meluangkan banyak masa kita tentang perkara-perkara sampingan seperti isu keluarga, kejiranan, masalah negara dan sebagainya.

Setiap hujung minggu pasti ada keperluan untuk kita memenuhi jemputan kenduri misalnya, hadir program yang dianjur kejiranan atau saudara mara yang bukan saja memakan masa kita, bahkan memerlukan belanja ekstra.

Ramai pendatang asing yang ditemui penulis mengaku mereka mudah fokus pada kerja, kerana hidup mereka tidak ada keperluan diri untuk memenuhi perkara-perkara sebegini rupa. Bangun pagi bersiap pergi kerja, balik rumah tidur untuk esok pergi kerja.

Bayangkan untuk 5 tahun anda mampu melakukan rutin ini, kami yakin anda pun akan kaya.

  1. Beban belanja makan sikit

Satu perkara sama yang sering disebutkan kumpulan pendatang asing, adalah bagaimana mereka mengamalkan sistem kongsi-kongsi dalam meminimakan perbelanjaan hidup.

Kos makan dan minum biasanya akan dibahagikan sama rata bersama-sama rakan serumah. Jangan terkejut pula kalau ada di antara mereka ini hanya membelanjakan RM100 ke RM200 seminggu untuk kos makan 4 orang.

Makan dan minum mereka pula biasanya disediakan sendiri, dengan lauk-pauk yang menjadi hidangan dimasak kawan-kawan yang berkemahiran.

Sebut pasal makan ni anda sedar kan, jarang sekali kita dapat menyaksikan individu pendatang asing hadir ke restoran atau kafeteria yang ada untuk makan; melainkan restoran atau kedai yang dikendalikan kawan-kawan mereka juga.

  1. Mereka tak perlu berhibur

Berapa belanja anda sebulan khusus untuk hiburan? Angka ini pasti lebih tinggi sekiranya anda sudah ada keluarga. Nak tengok wayang. Nak ke taman tema. Nak pergi melancong atau dalam bahasa orang sekarang ‘healing.’ Semuanya kos.

Duduk sendirian di tanah orang menyebabkan semua keperluan untuk berhibur sebegini dapat diminimakan. Mentaliti pekerja asing yang hadir ke Malaysia juga jauh berbeza dengan kumpulan pelancong asing di sini, kerana jelaslah tujuan mereka dua perkara yang berlainan fokusnya.

Kehidupan mereka yang ringkas, sangat-sangat ‘work focused’ mungkin hanya memerlukan mereka memiliki telefon pintar dan langganan internet mobil setiap bulan. Selebihnya hanyalah satu pembaziran.

  1. Tidak perlu jaga anak

Cuba anda perlu berpisah dengan anak-anak anda untuk satu tempoh jangka masa panjang. Pasti ramai yang tak sanggup.

Tetapi itulah situasi yang perlu dilalui ramai individu, khususnya golongan pendatang asing wanita di Malaysia yang perlu meninggalkan anak-anak mereka di tanah air sendiri untuk jangka waktu panjang.

Biasanya siapa yang akan menjaga anak-anak ini? Jawapan yang penulis kerap dengar adalah atuk, nenek atau makcik. Pasangan suami isteri di Malaysia dibantu agar mereka boleh mencari rezeki sebaik mungkin, tidak lagi perlu memikirkan masalah membesarkan anak.

Pernah juga penulis jumpa seorang kakak dari Jawa yang berkhidmat sebagai pencuci rumah di Kuala Lumpur. Sudah lebih 5 tahun dia tak pulang menjenguk anaknya. Atas pengorbanan kedua-dua pihak, anaknya itu sedang belajar di sekolah antarabangsa dengan kadar yuran yang agak tinggi jugalah kos bulanannya.

Kata ibunya, dia tak mahu anaknya melalui nasib sama dengan dirinya – jadi biarlah dia susah, asalkan anaknya boleh lebih berjaya.

  1. Bila bersendiri kita lebih berdikari

Satu perkara yang membezakan pekerja asing tak kiralah yang ada di Malaysia atau warga Malaysia yang ke luar negara, dengan mana-mana warga tempatan – adalah hilangnya tempat kita bergantung, menyebabkan kita jadi lebih kuat berdikari.

Mentaliti mereka yang berani meninggalkan segalanya di tanah air, hanya untuk mencari rezeki memang jauh berbeza. Ini kerana setiap orang yang berani ke luar tahu itu adalah satu-satunya peluang yang mereka ada jadi mereka akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk mengubah hidup.

Rakyat Malaysia yang ke luar negara untuk mencari rezeki dalam kerja-kerja buruh pun akan mempunyai pemikiran serupa.

Walaupun mudah mengumpul dana kewangan untuk dijadikan simpanan dan perbelanjaan masa hadapan, realitinya terlalu banyak pengorbanan yang perlu pendatang asing lakukan demi mencapai apa yang mereka hajatkan.

Dari segi monetari memang nampak indah, sehingga ada yang bergelar orang kaya baru selepas pulang dari perantauan tetapi impaknya pada hidup sendiri, hubungan kekeluargaan dan kesihatan sukar dijangka risikonya.

Baca juga: “Kena guna cable agaknya” – Ajak sedih permohonan isteri pindah sekolah ditolak, masuk hospital sebab pandu ke sekolah 152KM sehari!