Di sebalik penemuan vaksin Covid-19 oleh sepasang Muslim

Walaupun bilangan orang Islam di dunia adalah besar tetapi sumbangan umah terhadap perkembangan sains amat sedikit. Jadi, apabila keluar berita tentang kejayaan orang Islam dalam sesuatu penemuan atau penyelidikan, ia menimbulkan keterujaan di mana berita itu pasti luas ditularkan.

Itulah apa yang berlaku apabila sepasang Muslim asal Turki yang berhijrah ke Jerman untuk menjadi saintis dan menemui vaksin Covid-19 melalui firma makmal dan farmaseutikal. Oleh kerana pasangan itu Muslim, ia menimbulkan rasa kebanggaan di kalangan umat Islam. Seolah-olah hendak dinyatakan bahawa orang Islam pun pandai juga.

Sedangkan mereka yang menjadi saintis di Barat datang dari seluruh dunia tanpa mengira kaum dan anutan agama. Mereka adalah saintis dan tidak dikaitkan dengan agama.

Tetapi di sebalik kejayaan ini, ia mendedahkan kelemahan negara dan umat Islam yang merupakan suatu tragedi untuk diceritakan. Dunia Barat meliputi Amerika Utara, Eropah, Australia dan New Zealand.

Dunia Islam tersebar dari Afrika Utara, Afrika Barat, Afrika Timur, Afrika Tengah, Eropah Tenggara, Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Amat luas dengan penduduknya lebih jauh banyak daripada dunia Barat.  Tetapi kemunduran, kemiskinan, kejahilan, keganasan  dan peperangan di negara-negaea Muslim  adalah sesuatu yang sedia maklum.

Adalah suatu yang menggembirakan jika penemuan saintis itu dapat dilakukan di Turki, dan bukannya Jerman. Tetapi tentu dapat difahami bahawa Turki tidak dapat menyediakan kemudahan seperti yang ada di Jerman. Banyak orang Turki yang berhijrah dan menetap di negara bukan Muslim itu.

Sedangkan semasa Perang Dunia Pertama, Kekhalifahan Usmaniah adalah sebuah kuasa besar Eropah yang bersekutu dengan Jerman. Kekalahan Jerman merobek-robek empayar Usmaniah, dan yang tinggal ialah Turki, itupun nyaris hendak dibahagi-bahagikan oleh Britain, Rusia, Greece dan Armenia.

Kamal Attaturk yang menyelamatkan Turki daripada ditakluki berusaha memodenkan negaranya melalui sekularisme untuk menjadi negara yang setanding dengan Eropah. Usahanya gagal. Para penggantinya termasuk Presiden Reccep Erdogan masih tidak nampak kejayaannya.

Sedangkan Jerman yang kalah perang dua kali dan musnah keseluruhan serta berdekad-dekad terperangkap dengan Perang Dingin kini muncul sebagai negara utama Kesatuan Eropah. Tentu punca-puncanya dapat dikaji tetapi apa yang hendak diceritakan di sini  adalah mengenai masa depan, bukannya masa lalu.

Buat masa ini tumpuannya adalah untuk mengatasi wabak Covid-19. Minggu ini pun Turki membatalkan solat Jumaat bagi membendung wabak itu. Hanya selepas dapat mengatasi wabak itu, baru ekonomi dapat bergerak semula dan melaksanakan rancangan-rancangan yang terjejas.

Tetapi dunia pasca Covid-19 adalah berbeza.  Ia bukan setakat norma baharu atau ekonomi dunia yang berbeza tetapi juga kesedaran terhadap hakikat Covid-19.

Virus corona bukan setakat Covid-19. Persediaan untuk menghadapi virus baharu yang lebih pelik perlu dibuat. Virus ini berkait pula dengan pelupusan hutan, pemanasan global dan perubahan iklim.

Sementara perubahan iklim pula berkaitan dengan penggunaan bahan api fosil yang menghasilkan tamadun Barat serta hegemoninya ke atas dunia. Sistem yang digunakan ialah kapitalisme yang tidak mapan.

Kemajuan dan kemakmuran dunia Barat ini tidak dapat bertahan lama. Lebih-lebih lagi dengan penyertaan China dalam sistem ini. Apatah lagi jika Rusia dan India pun turut maju, bumi tidak akan dapat menanggungnya.

Maka, jika dunia Islam juga maju setaraf dengan Barat dan memerlukan tenaga dari bahan api fosil, maka ia hanya mempercepatkan kemusnahan bumi dan manusia.

Perspektif persaingan antara Barat dengan dunia Islam atau dengan mana-mana bahagian dunia lain sudah tidak praktikal. Sistem kemakmuran yang dinikmati Barat selama ini tidak boleh diturut serta oleh pihak lain kerana bumi tidak berupaya untuk memberi sumber bagi semua.

Barat juga sedar tentang perkara ini. Mereka beralih pada tenaga alternatif. Tetapi tentulah tetap ada orang yang tamak dan mementingkan diri sendiri walaupun ia akan memusnahkan semua orang.

Buat masa ini jalan masa depan adalah kerjasama dan bukannya persaingan. Budaya konsumsi dan kapitalis mesti diubah kepada gaya hidup mapan. Perakuan supaya emisi karbon dioksida mesti dipatuhi untuk kesejahteraan seluruh manusia.

Dalam hal ini, tindakan pelupusan hutan mesti dihentikan serta-merta. Tiga jantung bumi iaitu di pulau Borneo, Congo dan Brazil mesti dipertahankan. Ia sememangnya merupakan sesuatu yang sukar. Kesedaran untuk itu  tidak cukup kuat.

Indonesia berazam untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan, yang pastinya memusnahkan sebahagian hutan. Di Congo mereka melombong di tengah hutan tropika dan tidak mempedulikan kemusnahan hutan. Brazil yang diperintah oleh kerajaan pro-korporat telah membenarkan kemusnahan hutan Amazon.

Dengan kemusnahan hutan, haiwan-haiwan akan keluar dan memusnahkan ladang manusia dengan membawa virus-virus baharu. Kekurangan makanan dan kebuluran tidak dapat dielakkan. Mereka yang terdesak akan berhijrah ke bandar, seterusnya ke negara Barat.

Maka akan berlakulah konflik serta muncul terorisme. Agama akan menjadi tempat perlindungan di samping titik panggil bagi pelawanan. Apabila sampai di Barat,  ia dibalas dengan politik identiti populis perkauman yang akan mendalamkan konflik antara kaum dan agama.

Perubahan iklim ini akan menyaksikan lebih banyak bencana: banjir, ribut dan taufan yang semuanya mendatangkan kebuluran dan kesengsaraan. Itu  belum dikira lagi apabila beberapa dekad akan datang, pemanasan global boleh membawa kepada kenaikan paras laut yang menenggelamkan banyak pulau dan pesisir pantai. Pulau-pulau di Indonesia. Bangladesh dan Maldives akan tenggelam. Penduduknya perlu berhijrah, antara mereka akan berhijrah ke Malaysia.

Walaupun tidak sempat buat banyak perkara, kesedaran ini ada pada Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan dahulu. Kementerian Sains diubah nama untuk menekankan soal perubahan iklim ini. Maka Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menunjukkan azam ini.

Cara untuk menghadapi ancaman eksistensial bagi manusia ini bukan setakat berubah daripada bahan api fosil kepada sumber tenaga alternatif iaitu angin dan suria, tetapi juga secara menyeluruh dan konsisten mengubah gaya hidup.

Inilah yang paling sukar dilakukan oleh manusia. Bagaimanakah seseorang itu, apatah lagi masyarakat mahu hidup sederhana? Maknanya hidup tidak berlebihan, membazir  dan bermewah-mewahan? Seseorang mahu menghimpun kekayaan sebanyak mungkin walaupun ia menindas orang lain dan merosakkan bumi.

Risalah yang dibawa dalam ajaran Islam adalah jelas, iaitu hidup bersederhana tetapi sejarah menunjukkan sebaliknya. Apabila saja Kekhalifahan Umayah dapat didirikan, hudup bermewah bagi mereka yang mampu adalah perkara yang lumrah. Baik semasa pemerintahan Abasiah, Umayah di Andalusia dan Usmaniah. Malah dalam zaman moden ini, kekayaan dan kemewahan minyak orang Islam tidak menjadi contoh yang baik.

Sistem kapitalisme yang melihat pertumbuhan ekonomi secara berterusan melihat bumi seolah-olah boleh terus menampung bukan saja keperluan manusia tetapi juga kerakusan hidup mewah sebahagian mereka yang berkuasa. Bilangan manusia semakin bertambah dan jurang antara yang teramat kaya dengan banyak orang yang sengsara tidak cukup makan semakin luas.

Kalau diatur dengan saksama, yang miskin tidaklah terlalu menderita tetapi yang kaya perlu menerima mereka tidak boleh rakus dan tamak. Sesuatu yang sukar untuk mereka terima. Tetapi hakikatnya pertumbuhan ada hadnya.

 

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.