“Dia berubah lepas kami PJJ, rahsia akhirnya terbongkar bila aku buka Facebook..”

Seorang wanita langsung tidak menyangka bahawa perhubungan jarak jauh (PJJ) yang dijalani bersama cinta pertamanya berakhir tidak sampai setahun.

Musnah angkara orang ketiga, wanita bernama Seri itu mulanya menerima pinangan selepas lelaki berkenaan berani berjumpa ibu bapanya selepas meluahkan perasaan.

Seri yang mula jatuh hati kepada tunangnya itu malah dikhianati kerana pemuda itu menjalinkan hubungan sulit dalam masa tidak sampai setahun mereka menjalani PJJ.

Nekad membuat keputusan tanpa dipengaruhi keluarga, berikut perkongsian Seri yang menjalani pengalaman percintaan yang begitu memberi kesan dalam hidupnya.

“Assalamualaikum. Hai aku Seri, umur pertengahan 20-an. Merupakan puteri tunggal dalam tiga orang adik-beradik. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan penyayang tetapi begitu tegas. Dahulu, aku pernah letak perasaan yang terlalu tinggi kepada pasangan iaitu tunang sendiri.

“Seperti yang diberitahu, keluarga sangat tegas terutamanya kedua-dua abang aku. Berhubungan dengan lelaki adalah larangan utama kecuali urusan penting seperti tugasan kumpulan. Dalam jagaan mereka, memang susah kalau nak keluar dengan kawan-kawan walaupun perempuan. 

“Selepas masuk universiti, barulah bebas sedikit. Tetapi wajib memaklumkan kemana sahaja aku pergi. Alhamdulillah, aku tidak pernah menipu. Aku juga senang dengan didikan keluarga. Rasa macam dilindungi. Aku kenal tunang semasa zaman diploma. Tetapi lebih kepada rakan tugasan, belum ada perasaan.

“Bila masing-masing bawa hala tuju ke tempat lain, iaitu masuk ke tahun akhir ijazah barulah tunang luahkan cintanya padaku. Aku yang tak pernah didekati lelaki apabila terima luahan, mestilah rasa macam berbunga. Pasa masa yang sama, tak percaya. Pendek cerita, aku beritahu perkara itu kepada keluarga.

“Keluarga aku dan keluarga tunang minta bertemu empat mata. Teruslah jadi majlis merisik dan bertunang. Dua pihak keluarga termasuk kami bersetuju ikat setahun sebab lagi beberapa minggu sahaja nak habiskan ijazah. Fokus kerjaya untuk kumpul tambahan simpanan sebab dia sudah ada duit (suka kerja part-time masa belajar).

“Selepas bertunang, kami berurusan macam orang profesional. Telefon dan hantar pesanan sekadar tanya pasal persediaan kahwin. Itu pun dalam kumpulan sembang yang ada ibu bapa kami. Kalau mesej antara kami berdua, boleh kira dengan jari. Itu pun sepatah-sepatah sahaja. Apatah lagi bergayut tengah malam, memang tiada. 

“Kadang-kadang terfikir, betul ke aku ada tunang. Betul ke dia ada perasaan dekat aku sebab tiada bonding antara kami. Aku cuba untuk positif. Kemungkinan dia mahu bercinta lepas nikah, barulah sweet. Tetapi pelik juga sebab aku biasa dengar cerita pasal hubungan kawan-kawan. Indah, kalau bergaduh pun ada babak romantik.

“Untuk sosial media pula, hanya aku sahaja yang ikuti (follow) dia. Tunang aku hanya ada Instagram, Facebook yang tak aktif dan juga Whatsapp. Memang kalau tengok perkongsian dia, tak menarik langsung. Macam orang tiada life. Semuanya mengenai kerja atau kata-kata motivasi sahaja.

“Perkongsian aku tidaklah sebosan dia walaupun aku juga tak aktif bersosial media. Dia langsung tak follow aku semula. Status Whatsapp aku, kadang-kadang dia ada juga tengok tetapi langsung tak respon. Tunang tak pernah ambil tahu pasal sosial media aku. Mungkin dia tahu aku ini sejenis setia.

“Tetapi aku masih rasa pelik. Langsung tak minat nak tahu pasal aku. Katanya ada perasaan tetapi macam tak berminat. Aku pernah sahaja tanya dia. Jawapannya dia tahu aku boleh jaga batas. Dua ratus peratus tunang percayakan aku sebab tengok cara didikan keluarga. Jadi, aku iyakan sahaja.

“Aku tahu bila bertunang, tak perlu heboh sana sini. Tetapi masa majlis pertunangan, aku ada kongsi dua gambar tangan yang ada cincin tanda dekat status Whatsapp dan Instastory sebab akan hilang selepas 24 jam. Aku tak sebut nama dia. Jadi cuma kawan rapat sahaja tahu siapa tunang aku. Dia pula langsung tak kongsi apa-apa. 

“Aku tanya juga. Jawapan tunang, tak nak orang tahu dia ada aku. Katanya, tak nak kongsi gambar aku pada orang lain. Kiranya, aku cukup untuk tatapannya seorang. Mulanya terharu, ada sikap melindungi seperti keluarga aku. Tunang pesan, kalau nak post apa-apa pasal hubungan boleh, tetapi jangan sebut nama dia.

“Tunang sangat rapat dengan keluarga aku terutamanya mama aku. Begitu juga aku dengan ibu dia. Kalau tak berborak dalam kumpulan sembang, memang kami hantar mesej personal dengan mak masing-masing sampai mama cakap dia ada tiga anak elaki kandung. Betapa sayangnya kepada tunang aku.

“Ibu dia pun layan aku macam puteri memandangkan ini bakal menantu perempuan pertama. Anak-anak dia pula semua lelaki. Walaupun aku dan tunang jarang berbual sesama kami, tipulah kalau tiada perasaan aku. Lagi-lagi sudah fasa bertunang dan tunggu masa sahaja nak berkahwin.

“Aku belajar kenal dia melalui ibu dia atau kawan-kawan terdekat. Perasaan semakin bertambah sebab banyak benda baik sahaja mereka cakap pasal tunang. Dia baik, berdisiplin, matang, pandai bab agama dan sebagainya. Aku juga akui sebab masa diploma dahulu ramai orang suka dengan dia.

“Cuma aku tak sangka apabila mereka cakap aku orang pertama yang menjalinkan hubungan dengan tunang. Lagilah berbunga hati aku dan bersemangat nak melayari bahtera rumah tangga dengan lelaki ini. Habis ijazah, kami masih jalinkan hubungan jarak jauh (PJJ) sebab dia dapat tawaran kerja di selatan tanah air.

“Aku pula bekerja di negeri tempat tinggalku. Macam biasa, segala urusan hanyalah dalam kumpulan sembang. Jumpa hanya sekali dua selepas bertunang. Itupun hanya ditemani keluarga, tak nak keluar berdua. Sampailah satu hari itu, dia datang sendiri tanpa keluarga. Oranng lain tak dapat ikut sebab nenek dia sakit.

“Tunang pula terpaksa datang sebab waktu itu sahaja yang dia ada cuti untuk ukur baju kahwin. Dia tinggal di rumah keluarga aku dalam dua hari. Sebab nak selesaikan semua urusan termasuk bab baju dan cari cincin. Masa kami sarapan keluarga aku dan dia berborak seperti biasa. Sampailah abah and abang nak pergi bersiap.

“Masa itu kat dapur tinggal aku, mama and tunang. Mungkin nampak kami nampak kekok, jadi mama bagi ruang untuk kami berbual berdua. Tetapi mama pergi ke singki sahaja. Maknanya tak jauh sangat. Sumpah aku rasa kekok dan malu yang teramat. Sebab tak pernah nak bercakap berdua.

“Dia nampak bersahaja and cuba cari topik berkait persiapan kahwin untuk sembang dengan aku. Lama-lama aku dapat rentak untuk berborak walaupun hanya sepatah dua ayat yang aku boleh respon. Tetapi aku rasa ini satu pencapaian konon macam berjaya tackle dia. Maafkan aku yang masih innocent dengan bab cinta ini.

“Selepas dua hari, dia balik semula sambung kerja. Untuk pertama kali, aku tagged nama tunang dengan kapsyen ‘counting months’ bersama sekeping gambar tunang dan keluarga aku. Konon rasa yakin yang kami semakin rapat. Ibu dia siap mengusik cakap tahniah dan nampak romantiklah. 

“Bertambah yakinlah aku berjodoh dengan dia. Ada kawan-kawan yang terkejut dan mungkin mereka sampaikan dekat dia. Pertama kali sepanjang kami bertunang, dia telefon aku. Terkejut jangan cakaplah. Aku mati-mati ingat dia buang tabiat sebab tiba-tiba telefon. Ingatkan dia terbuka kenal sesama kita tapi rupanya tidak.

“Tunang minta aku padam perkongsian aku serta-merta. Nada dia sangatlah tidak menyenangkan untuk didengar. Macam nak marah, tetapi dia cuba kawal. Yang pasti dingin sahaja. Tak macam yang kami berborak berdua hati itu. Dia siap cakap, sudah beritahu jangan petik nama atau kongsi pasal hubungan kami di sosial media.

“Aku dengan tenang membalas, gambar pertama pun nak dijadikan isu besar ke? Dia terus tinggi suara. Aku sentap betul masa itu. Tunang warning untuk padam semua postingan tanpa sebab dan letak telefon begitu sahaja. Aku mula rasa dia bukanlah individu sama yang orang lain ceritakan sampaikan aku jatuh cinta.

“Selepas kena marah aku terus padam. Sejak kejadian itu, tunang terus tak muncul dalam kumpulan sembang untuk bincang majlis kami. Ibu ayah dia yang wakilkan. Dia pun berhenti hubungi aku. Ibu cakap dia mungkin sibuk sebab mereka berdua pun jarang berhubungan. Mama sudah mula tanya mana anak lelaki kesayangan dia.

“Aku tak beritahu apa yang terjadi pada keluarga kami. Risau jika mereka anggap isu itu terlalu kecil. Hanya sebab postingan itu dia tengking dan terus bawa diri. Sebab tinggal dua ke tiga bulan nak kahwin, aku pujuk diri sendiri dengan tebalkan muka hantar pesanan kepada dia namun tiada balasan.

“Aku cuba telefon untuk meminta maaf, tetapi tidak diangkat. Aku kerap salahkan diri sendiri. Aku luahkan juga kepada sahabat bertanyakan pendapat sebab sudah tidak dapat pikul rasa ini. Sahabat cadangkan aku ambil hati dia dengan buat kejutan dan macam-macam lagi. Tetap, tiada balasan.

“Sampailah sahabat aku syak yang tunang mungkin ada rahsia. Aku sangkal juga mulanya sebab dia sendiri yang luahkan perasaannya dahulu. Punyalah suci otakku. Tetapi aku cuba tengok Instagram dia, tiada apa-apa. Tetapi Facebook dia, gambar profil ada muka orang lain.

“Hati aku masa itu Tuhan sahaja tahu retak macam mana. Kuatkan juga untuk tanya pada tunang. Bila aku hantar sahaja screenshot gambar, dia terus balas. Sedangkan pujuk rayu aku sebelum ini tidak diendahkan. Katanya Facebook sudah lama kena godam dan minta aku jangan fikir bukan-bukan pasal dia.

“Tunang kemudian hantar gambar skrin laptop dia. Ada gambar ibu dia sarungkan cincin pada aku. Dia minta maaf sebab merajuk lama, tenangkan diri tetapi masih rindukan aku. Walaupun sibuk kerja, dia tak pernah lupakan aku. Itu yang dia letak gambar sebagai sebagai cara lepaskan rindu.

“Jujurnya, aku hampir goyah. Bermula dari hati itu, barulah tunang muncul semula di kumpulan sembang walaupun kadang-kadang. Dengan aku pun, dia mesej personal tanya khabar. Aku balas macam biasa tetapi sepatah-sepatah. Aku juga tak pasti kenapa sedangkan itu yang aku mahu selama ini.

“Hati aku sudah berbolak balik, tiada lagi jatuh cinta, tiada lagi doa setiap hari yang mengharapkan dia. Sudah jadi habit untuk aku zoom in dan zoom out gambar skrin laptop yang dia hantar hari itu. Mungkin Tuhan nak tunjuk lagi dua minggu kami nak berkahwin, aku nampak fail yang bernama My Love Alisa (bukan nama sebenar).

“Aku tanya lagi minta dia jujur. Jangan mainkan perasaan aku dan keluarga. Jangan buat aku macam orang bodoh walaupun tiada pengalaman dalam soal hati. Aku juga beritahu yang air mata sudah kering sebab menangis tunggu dia selama ini. Tetapi sekarang aku pilih berhenti menangis sebab hati sudah mati. 

“Terus tunang telefon aku menangis meminta maaf. Kali kedua dia telefon. Tetapi kali ini, dia yang pujuk rayu aku. Dia mengaku ada hubungan dengan rakan sekerjanya selepas sebulan kami bertunang. Punya lama dia peram hubungan sulit itu. Tunang minta maaf sebab dia rasa bersalah tipu aku and keluarga.

“Tunang mengaku masih sayangkan aku dan mahu teruskan perkahwinan kami. Dia kata hubungan sulit dengan rakan sekerja hanya sekadar suka-suka sahaja. Akaun Facebook dia bukan kena godam ya. Perempuan itu yang muat naik gambar sendiri. Istimewa betul, aku tunang dia sendiri pun tak tahu kata laluan.

“Selepas pengakuan itu, aku tarik nafas lega. Bukan salah aku. Dulu pun dia marah sebab takut kantoi yang kami ada hubungan dengan kekasihnya. Agaknya semua rakan sekerja tak tahu dia bakal berkahwin. Tunang mohon maaf berkali-kali. Merayu supaya diberi peluang. Katanya jangan musnahkan harapan keluarga.

“Dari situ aku nampak tunang tak sayangkan aku lagi seperti dia luahkan perasaan pertama kali. Dia hanya bertahan sebab keluarga. Takut malu, takut dipersalahkan. Dengan tegas aku cakap nak putuskan pertunangan, walaupun kad undangan sudah diedarkan. Aku tak sanggup nak teruskan selepas apa yang jadi.

“Aku beritahu keluarga dan mereka terkejut besar. Mama yang paling terkesan dan pertikai kenapa aku buat keputusan saat akhir. Aku pun membuka mulut dan luahkan apa yang terjadi dalam hampir setahun ini. Aku makin nekad putuskan pertunangan selepas nampak abah yang tegas mengesat air mata tanpa berbunyi sepatah pun.

“Kedua abang aku pun naik angin selepas tahu apa yang tunang aku buat pada adik bongsu mereka. Ibu ayah pun terus datang ke rumah bila tahu keputusan aku. Depan keluarga, tunang mengaku salah akan perbuatannya. Ibu cuba pujuk aku untuk tidak putuskan pertunangan, tetapi akhirnya kami berpisah cara baik. 

“Walaupun kami berpisah, Alhamdulillah keluarga masih berbaik. Aku ada hubungi ibu untuk bertanya khabarnya dan ayah. Katanya anaknya sekarang tak terurus dan sering menyalahkan diri kerana sia-siakan aku. Kalau tanya aku adakah mahu beri peluang kembali, jawabnya tidak.

“Walaupun dialah lelaki pertama yang ajar aku indahnya cinta, tetapi dia juga yang ajar deritanya sebab cinta. Aku selesa dan lebih bahagia dengan diri aku sekarang. Soal jodoh aku serah kepada Tuhan. Kalau takdir aku memang sendirian sahaja, aku terima. Sebab aku boleh habiskan masa bersama mama dan abah. 

“Hati aku masih perlu dirawat, walaupun lukanya sudah berbekas. Doakan aku ya supaya boleh bangkit semula.” Kongsi Seri (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di laman luahan di atas talian.

Baca juga: “5 tahun dah kahwin tapi tak ada privasi, pindah rumah baru pun suami ajak adik-beradik sekali…”