‘Dia pakai seluar ‘baggy’, baju selalunya tak tuck in’ – Hannah Yeoh rupanya dulu satu sekolah dengan Joe Flizzow

Penyanyi rap tersohor, Joe Flizzow sejak zaman sekolah sudah ada ciri seorang rapper apabila memakai seluar ‘baggy’ dan baju selalunya tak ‘tuck in’ (dimasukkan ke dalam).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkongsikan hal itu ketika mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama, Selangor pada era 90-an.

Hannah kemudiannya menyambung pelajarannya di University of Tasmania, Australia pada tahun 1998 dan memperoleh ijazah undang-undangnya pada tahun 2001.

“Pakaian sekolahnya (Joe Flizzow) tak seperti pakaian sekolah yang normal.

Hannah Yeoh

“Sebagai ketua pengawas, saya selalu tegur untuk membetulkan cara pemakaiannya,” kata Hannah yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengawas di SMK Subang Utama dari 1995 hingga 1996.

Menerusi klip yang tular di TikTok, Hannah berkongsi pengalamannya ketika menjayakan dokumentari istimewa berjudul This Is Johan.

Kini, dokumentari khas pelantun lagu Apa Khabar itu ditayangkan di platform penstriman Viu.

Menceritakan perwatakan Joe semasa di sekolah, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, penyanyi itu memiliki gaya fesyen luar biasa dan selalu mendapat teguran daripadanya selaku ketua pengawas.

Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak

Sementara itu, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak dalam video yang sama membalas kenyataan Hannah dengan berkata, sikap nakal tidak salah, asalkan tidak melakukan perkara jahat.

“Nakal lebih elok berbanding jahat. Nakal tak apa. Degil tak apa, jangan jahat je,” kata bekas ahli Too Phat berusia 45 tahun itu.

Dokumentari This Is Johan menceritakan titik peluh, kejayaan, kejatuhan dan semangat Joe yang masih memberi inspirasi kepada peminat tempatan serta pengikut hip hop dan rap hingga kini.

BACA JUGA Ini 5 manusia bertuah jumpa ‘lubuk emas’ dalam barangan terpakai, No 2 tu paling tak masuk akal