Dibahan di Program Maharaja Lawak terbitan Astro, Najib akui terluka

Selepas dijadikan bahan jenaka dalam satu program rancangan televisyen Maharaja Lawak Mega, Datuk Seri Najib Razak mengakui tersentak dan koyak dengan serangan terhadapnya berhubung isu hartanah bernilai RM100 juta.

Susulan pendedahan isu berhubung tanah RM100 juta tersebut, Najib mendakwa menjadi sasaran propaganda pihak tertentu yang sengaja cuba memburukkan imejnya sehingga dijadikan bahan dalam program jenaka terkenal dalam kaca televisyen baru-baru ini.

“Saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda-propaganda pihak-pihak lawan. Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ia tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya. Saya dan isteri saya dijadikan bahan untuk Maharaja Lawak Mega,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran akaun Facebooknya.

Najib mempertahankan permohonan hartanah yang dibuatnya dengan berkata tanah itu ditawarkan oleh kerajaan kepada beliau sebagai bekas Perdana Menteri seperti yang terkandung dalam akta yang telah dipinda oleh Perdana Menteri Keempat merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih maka saya pilih satu iaitu tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, kekecohan tercetus dalam Dewan Rakyat selepas Dr Mahathir mempertikaikan pemberian hadiah sebidang tanah oleh kerajaan kepada Najib.

“Tetapi sekarang ini saya dapati bahawa ada satu item yang tak disebut dalam bajet tetapi ini sudah timbul di khalayak ramai.

“Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dia akan dihadiah dengan wang dengan hartanah dan rumah bernilai RM100 juta kerana jasanya kepada negara… Ini tak disebut kerana kita nak tahulah apa dia jasa dia,” kata Dr Mahathir.

Najib juga membidas tindakan sebuah portal yang membocorkan maklumat berhubung isu hadiah tanah bernilai RM100 juta tersebut.

“Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas Perdana Menteri.

“Nilai RM100 juta itu diberi portal pro-PN dan cerita dikeluarkan sempena PRN Melaka walaupun permohonan saya dibuat pada tahun 2018 selepas PRU14. Bukan kita tak tahu kenapa.

“Malah pejabat bekas perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam Yayasan Kepimpinan Perdana Mahathir. Anak-anak saya pun bukan bilionaire macam anak-anak dia. Lalu, dia tanya apa jasa saya sebagai PM? Tak ada apa-apa pun jasa saya,” kata Najib lagi.

Terdahulu, media melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut menurut portal MalaysiaNow sudah menerima kelulusan daripada kerajaan namun dibantah menteri dan pegawai kanan.

Difahamkan Najib membuat permohonan tersebut setahun selepas digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 dan sekali lagi tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/najib-akui-koyak-selepas-dijadikan-bahan-maharaja-lawak-mega/