JAKIM tidak pernah memberikan sebarang pengiktirafan kepada pihak mana pun untuk menawarkan pakej perkhidmatan perkahwinan di Thailand, sebagaimana yang dipromosikan di platform media sosial.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan bahawa dakwaan yang mengaitkan JAKIM tersebut palsu. Beliau menegaskan bahawa tindakan yang diiklankan bertentangan dengan peranan JAKIM dalam memastikan masyarakat Islam mematuhi hukum dan undang-undang.
“Contohnya kalau kahwin poligami dilakukan di Thailand ikut pakej, jadi status perkahwinan itu mungkin diragui sama ada sah atau tidak.
“Betul, peraturan dalam undang-undang membenarkan pasangan yang nikah di Thailand, apabila mereka balik semula perlu daftarkan ke dalam negara (pejabat agama)…tetapi harus diingat, terdapat peruntukan di bawah Seksyen 12 (2) yang dibaca bersama Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri,” katanya.
Beliau menyatakan demikian susulan terdapat beberapa pihak tidak bertanggung jawab yang mengiklankan pakej perkhidmatan perkahwinan di Thailand di Facebook. Dalam iklan mereka, pihak tersebut mengatakan bahawa pakej tersebut ‘diiktiraf oleh JAKIM dan kerajaan Malaysia’, yang merupakan kenyataan palsu.
Beliau menyatakan bahawa bagi kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.