Didakwa buat keputusan sendiri desak PM undur, ini penjelasan Zahid

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan apa yang difikirkan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara malam tadi, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, begitulah keindahan UMNO, parti keramat agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia iaitu sebuah parti demokratik yang berusia 75 tahun.

“Segalanya diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana. Berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.

“Maka tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon Presiden UMNO buat keputusan sendiri untuk parti.

“Terbukti juga UMNO bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara,” ujar beliau menerusi hantaran Facebooknya.

Dalam mesyuarat MKT malam tadi, UMNO memutuskan untuk menarik semula sokongannya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun beberapa jam sebelum itu, Muhyiddin melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jelas Ahmad Zahid, terbukti juga UMNO sebuah parti yang tegas dan jitu mempertahankan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Katanya, UMNO adalah parti yang mendengar suara hati akar umbi dan memenuhi mandat mereka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, ternyata UMNO adalah parti yang akan terus berpegang dan memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen.

“UMNO akan terus bersama rakyat walau apa cabaran dan rintangan. Demi Malaysia tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette