Didakwa sokong Muhyiddin September nanti, ini jawapan Warisan

Warisan menafikan tuduhan parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di tengah-tengah kemelut politik susulan tindakan sekumpulan ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Warisan teguh dengan keputusan parti untuk tidak menyokong kerajaan PN sekarang … dan bertegas menuntut perdana menteri dan kabinetnya meletak jawatan.

“Sebarang berita atau laporan yang disebarkan mendakwa Warisan menyokong PN adalah palsu dan berniat jahat,” kata Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal pada satu kenyataan hari ini.

Pendirian Warisan ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Anak Kujat, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, menurut kenyataan itu.

Ini selepas Muhyiddin mengumumkan dia akan mengusulkan undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan September depan kerana kedudukannya sebagai perdana menteri sering dipersoalkan.

Muhyiddin berkata pagi ini dia menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah memaklumkan kepada baginda bahawa dia menerima sejumlah perakuan yang meyakinkannya bahawa dia masih mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Mengulas perkara itu, Warisan menuntut supaya parlimen segera bersidang untuk mengadakan undian terhadap usul percaya Muhyiddin tanpa menunggu sehingga September.

“Perkara itu akan menjernihkan keadaan dan tidak perlu menunggu sampai September.

“Usul undi percaya ini perlu menjadi satu-satunya isu yang dibahaskan dalam sesi terdekat Dewan Rakyat berkenaan.

“Ia tidak boleh dicampuradukkan dengan masalah lain mengenai Rancangan Malaysia ke-12 dan belanjawan yang akan dibahas dalam sesi parlimen yang dijadualkan pada bulan September,” kata kenyataan itu.

Sesi parlimen berikutnya dijadualkan bermula pada 6 September, dengan Agong akan menyampaikan titah diraja di Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/585838