Dikecam hanya kerja 11 hari sebagai penasihat, Faizal janji serah semula gaji RM27,000

Dikecam hanya kerja 11 hari sebagai penasihat, Faizal janji serah semula gaji RM27,000

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu dilaporkan mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 gaji yang diterimanya sebagai penasihat khas perdana menteri selama 11 hari.

Menurut bekas menteri besar Perak itu, wang tersebut akan disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Pada masa sama, kata Ahmad Faizal, dia sama sekali tidak berkecil hati atau marah kepada pihak yang mempersoalkan pendapatannya itu.

Bahkan katanya dia memaafkan sesiapa saja yang mengecamnya kerana diberikan gaji tersebut.

“Saya mahu me­mulangkan keseluruhan RM27,000 itu kepada tabung Covid-19.

“Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

Sebagai rekod pada 5 Ogos lalu, Ahmad Faizal dilantik sebagai penasihat khas kepada Muhyiddin Yassin, dia hanya sempat bertahan selama 11 hari sebelum ahli parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan kerana hilang sokongan majoriti di parlimen.

Muhyiddin merupakan presiden Bersatu manakala Ahmad Faizal timbalannya.

‘Saya tak buat salah’

Pada sidang Parlimen minggu lalu, isu gaji Ahmad Faizal dibangkitkan Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob me­nyatakan jumlah gaji diterimanya sebagai penasihat Muhyiddin.

Ismail Sabri berkata Ahmad Faizal gaji berjumlah RM27,227.20 dan dibayar secara pro-rata, memandangkan tempoh perkhidmatan yang singkat.

Ia termasuk gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak satu bulan gaji.

“Jawatan ini tidak melibatkan pembayaran pencen,” kata Ismail Sabri.

Kata Ahmad Faizal dia tidak menyalahkan pihak yang mengkritiknya dalam isu gaji tersebut.

“Mereka tak salah, dan saya bersetuju dengan mereka yang membangkitkan perkara tersebut,” katanya

Sementara itu, Ahmad Faizal turut me­mohon maaf susulan perkara yang dibangkitkan itu, dan berharap agar ia dijadikan asas untuk semua pihak bekerjasama memba­ngunkan negara.

Bagaimanapun, dia me­ngakui khuatir jika netizen mempersoalkan prestasi kerjanya berbanding soal karakternya yang bersahaja.

“Saya tak buat salah. Tetapi saya fikir, kalau netizen cakap pasal prestasi kerja saya, yang itu saya risau.

“Tetapi kalau dia cakap pasal kelakuan saya, kelemahan saya tentang perkara yang tak me­rugikan negara, saya tidak kisah. Saya ini orang kampung,” jelas Ahmad Faizal.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/591922

COMMENTS