Pihak berkuasa di Thailand telah memulakan siasatan selepas seorang lelaki di Pattaya direkodkan membawa seekor anak singa peliharaannya bersiar-siar di jalan raya.
Berdasarkan klip video yang dikongsikan di laman Facebook pada Ahad lalu, lelaki tersebut dilihat selamba memandu sebuah kereta Bentley, sementara singa peliharaannya duduk di tempat duduk belakang dengan bumbung kereta yang terbuka.
Anak singa yang memakai kolar berwarna hijau itu duduk dengan tenang sambil memerhatikan pengguna jalan raya lain.
Ramai yang memberi reaksi ketakutan apabila melihat haiwan tersebut, malahan tidak kurang juga yang merakamkan situasi tersebut.
Video tersebut menarik perhatian Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar, dan Pemuliharaan Tumbuhan yang kemudian memulakan siasatan.
Pemilik singa tersebut dikenali sebagai Sawangjit Kosoongnern. Beliau mempunyai lesen untuk memelihara singa di wilayah Ratchaburi dan anak singa tersebut dianggarkan berusia lima atau enam bulan.
Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Atthaphon Charoenchansa berkata: “Dia berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda 500,000 baht (RM66,296).
Walaupun pemilikan singa adalah sah di Thailand, ia mesti dikurung di lokasi tertentu dan tidak boleh dibawa di kawasan awam, katanya.