Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh ibu atau suri rumah ketika memasak adalah percikan sambal atau bahan kisar yang mungkin terkena pada dinding.
Jika percikan tidak dibersihkan segera dan dibiarkan sehingga kering di dinding, menghapusnya menjadi tugas yang memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menjadikan dinding itu berkilat semula.
Percikan sambal semasa memasak sering disebabkan oleh ketidaklarutan bahan-bahan dalam masakan, terutamanya air dan minyak, menurut perkongsian Majalah Sains di Facebook.
“Namun yang paling banyak terkesan ialah molekul-molekul air dan minyak kerana kedua-duanya tidak larut bersama.
“Semakin tinggi suhu, semakin tinggi tenaga kinetik molekul-molekul ini. Maka, semakin tinggilah daya percikan kerana minyak dan air ingin menjauhi antara satu sama lain,” terangnya.
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan untuk mengelakkan percikan tumisan daripada mengotori dinding semasa menumis:
1. Kisar bahan-bahan dengan minyak untuk mengurangkan kandungan air dalam tumisan.
2. Kurangkan kekuatan api untuk mengurangkan tenaga kinetik molekul dalam masakan. Suhu yang lebih rendah membantu mengurangkan percikan.
3. Gunakan kuali kalis lekat (non-stick) untuk mengurangkan kemungkinan bahan melekat pada kuali, yang boleh mengurangkan percikan.
4. Gunakan kuali yang lebih besar untuk menampung luas percikan yang mungkin terhasil semasa memasak.
5. Jika bahan tumisan masih mengandungi banyak air, tumis tanpa minyak terlebih dahulu sehingga sebahagian air tersejat. Selepas itu, tambahkan minyak dan teruskan proses tumisan seperti biasa.
6. Gunakan penutup periuk apabila percikan mula terlihat. Lebih baik lagi jika penutup tersebut mempunyai lubang kecil untuk melepaskan wap air.
7. Tambahkan bahan berasid seperti asam jawa, cuka, atau asam keping untuk membantu mempercepatkan proses pengurangan air dari masakan. Ini akan mempercepatkan proses ‘pecah minyak’ dan mengurangkan percikan yang berlebihan.
Baca juga: Leka ‘hisap’ dadah di pejabat polis, empat pegawai kastam diheret ke mahkamah