Disebut sebagai Ahli Parlimen PKR, ini jawapan Maszlee Malik

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menafikan beliau sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menegaskan, beliau masih dengan status Ahli Parlimen Bebas, biarpun tular gambar beliau menyertai sidang mesyuarat video bersama Ahli-ahli Parlimen PKR.

Maszlee berkata, umum mengetahui beliau merupakan Ahli Parlimen Bebas yang cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH), malah telah dilantik mengetuai Jawatankuasa Pendidikan di bawah pakatan itu.

“Saya bersama PH… Saya telah diminta oleh PH untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH walaupun saya Ahli Parlimen Bebas. (Dan) Keadilan dalam PH,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh memuat naik tangkap layar yang menunjukkan sesi perbincangan antara beberapa Ahli Parlimen PKR mengenai isu-isu berkaitan.

“Kami Ahli-Ahli Parlimen Keadilan terus bekerja walaupun Parlimen tidak dibuka dan kami berjumpa secara maya sahaja dari kawasan masing-masing.

“Tajuk hari ini berkenaan isu pendidikan dan juga Ordinan Darurat – selain dari bincang tentang masalah, kami juga berbincang cadangan serta dasar yang perlu diambil untuk atasi keadaan dan permasalahan semasa. Apa yang menteri patut buat tapi tak buat… ada juga cadangan yang akan di ketengahkan.

“Walaupun menteri buat-buat tak dengar, itu tidak menghilangkan iltizam kami untuk terus menyumbang…seperti dalam Parlimen lah kan,” kata Fuziah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika pentadbiran PH.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/saya-tidak-sertai-pkr-masih-bergelar-ahli-parlimen-bebas-maszlee-malik-304444