Ditinggalkan suami, wanita ini sara diri dengan tawar khidmat seks untuk sara anak

Apabila Ros* berkahwin pada usia muda, dia bermimpi bercinta dengan seorang pemuda tampan. Ia tidak berlaku, sebaliknya dia menjadi miskin dan terdesak apabila suaminya meninggalkan dia dan anaknya yang baru lahir setahun kemudian.

Keluarganya tidak membantu dia – bapa mertua dan abang iparnya mahu menidurinya.

Dia yang berusia 35 tahun kini menjadi pekerja seks, sekurang-kurangnya memberi kebebasan kewangan kepadanya.

Penyelidik, Janarthani Arumugam dan G Selvi di bawah naungan Asia Pacific Network of Service Workers memberitahu FMT, ini senario biasa untuk ramai pekerja seks di kawasan bandar dalam negara ini, khasnya bagi wanita yang hidup miskin kerana berpendidikan rendah dan tiada kemahiran.

Janarthani ketika menceritakan kisah Ros, berkata wanita itu bekerja secara aktif lebih lima hingga enam tahun, selepas mendapati dia tidak boleh mendapat sokongan daripada keluarga sendiri melalui cara konvensional.

“Ketika dia (Ros) memerlukan bantuan untuk membeli susu tepung, bapa mertuanya pada dasarnya berkata: ‘jika anda tidur dengan saya, saya boleh memberi sokongan kewangan kepada anda.’ Perkara sama dikatakan kepadanya oleh abang iparnya.”

Merasa terhina dengan cara keluarga sendiri melayannya, dia mengambil keputusan untuk bergantung kepada diri bagi menyara anaknya.

“Dia tidak boleh ke pertubuhan yang menyediakan bantuan. Tiada kaedah lain untuknya.”

Janarthani berkata, Ros sangat positif dengan masa depan kerana kini dia mendidik anaknya yang berusia tujuh tahun dan mampu menjaga ibunya yang sudah tua.

Pada kemuncak pandemik COVID-19, Ros turut dilaporkan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Sudah tentu dia bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan, tetapi dia merasakan pekerjaan ini mampu memberikan sedikit keselamatan kewangan.”

Ros ialah seorang daripada 30 pekerja seks dari Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban yang ditemubual sebagai sebahagian daripada penyelidikan Janarthani dan Selvi.

Penyelidik itu berkata, ramai pekerja seks, selain tekanan kewangan sedia ada, turut teruk terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjadikannya sukar untuk mereka menemui pelanggan, kebanyakannya pekerja asing.

Kebanyakannya kini bergantung kepada bantuan kerajaan daripada pakej rangsangan ekonomi.

Bagi pekerja seks berusia, kemiskinan ialah realiti kerana pendapatan mereka berkurangan apabila permintaan untuk perkhidmatan mereka merosot dan wanita muda mengambil alih pelanggan mereka.

“Mereka tidak mendapat pelanggan seperti ketika mereka muda. Pendapatan mereka merosot secara mendadak. Mereka menghadapi masalah kesihatan, tetapi masih perlu bekerja kerana tiada KWSP atau Perkeso. Mereka juga tidak mempunyai insurans.

“Itulah realiti di Malaysia hari ini yang enggan diakui ramai pembuat dasar. Kemiskinan ialah masalah serius dalam kalangan ibu tunggal, wanita berusia, tidak berpendidikan dan kebanyakan wanita yang tidak mempunyai pendidikan sekolah menengah.

“Ada juga wanita berpendidikan dan diambil bekerja yang melakukannya sebagai kerja sambilan kerana pilihan untuk pekerjaan bergaji tinggi sangat terhad.”

Janarthani berkata, ramai tidak mengakui mereka melakukan pekerjaan seks kerana stigma yang dikaitkan dengan pekerjaan itu.

Penyelidik bagaimanapun mendapati pekerja seks Islam berdepan masalah lebih serius kerana pekerjaan seks merupakan jenayah di bawah undang-undang syariah.

“Mereka menghadapi banyak halangan. Ramai ialah ibu tunggal, suami mereka tidak membayar nafkah dan lain-lain, jadi mereka melakukan pekerjaan seks.

“Tetapi stigma yang mereka hadapi lebih banyak berbanding orang lain. Yang lain tidak berdepan penguatkuasaan agama.”

Selvi, yang merupakan sukarelawan membantu banyak komuniti pekerja seks dan rumah pelacuran sejak 20 tahun lalu, berkata satu daripada kebimbangan terbesar mereka ialah ujian secara konsisten untuk penyakit dan jangkitan kelamin (STD serta STI).

Katanya, walaupun kebanyakan wanita yang diwawancara sudah diletakkan di bawah program pencegahan HIV sedia ada – seperti yang ditawarkan Majlis AIDS Malaysia, perlu ada program untuk kesihatan pembiakan seksual seperti pap smear dan lain-lain.

Ini penting untuk wanita berusia 40-an dan bakal menginjak usia 50-an.

Katanya, walaupun kebanyakannya sudah mempunyai rekod kesihatan di hospital untuk pemeriksaan HIV dan jangkitan lain, mereka masih melaporkan diskriminasi atau layanan tidak adil ketika mendapatkan perkhidmatan perubatan di unit lain hospital.

“Mereka diperlakukan seperti mereka kotor. Oleh itu, mereka mengelak daripada menjalani pemeriksaan kesihatan seksual ini di hospital kerajaan.

“Malah, mereka bersedia membayar lebih banyak di hospital swasta kerana mereka boleh bercakap mengenai masalah dan mendedahkan mereka ialah pekerja seks, dan mereka tahu tidak akan dilayan secara berbeza.”

Selvi turut melaporkan kewujudan trend baru dalam kalangan pekerja seks di Malaysia, di mana penagihan dadah semakin meningkat kerana pelanggan menekan wanita terbabit menghisap dadah.

“Pelanggan mahu mereka menggunakan dadah tertentu. Jika anda tidak menggunakannya, misalnya methamphetamine, pelanggan tidak akan melanggan mereka.”

Diganggu penguatkuasaan

Kajian itu turut mendapati peningkatan dalam serbuan polis di lokasi wanita itu bekerja ketika PKP.

“Ketika PKP, pekerja seks antara sasaran utama,” kata Selvi sambil menambah pihak berkuasa aktif mencari pekerja seks, yang dianggap kumpulan berisiko tinggi menyebarkan virus COVID-19.

“Mereka tidak bekerja selama enam bulan, tetapi serbuan masih dilakukan. Wanita yang tinggal di rumah pelacuran diganggu polis. ”

Penyelidik berkata, wanita mendakwa polis akan mengugut mereka dengan kekerasan, jika tidak mengakui mereka melakukan pekerjaan seks, menjadikannya sangat sukar untuk mereka berunding dengan polis.

Kebanyakan wanita tidak menyedari hak mereka ketika serbuan dan tidak akan meminta pegawai itu menunjukkan kad pengenalan mereka.

Hampir semua aktiviti berkaitan pekerjaan seks menyalahi Seksyen 372 Kanun Keseksaan, yang menjadikan permintaan pelacuran di mana-mana tempat dan sengaja menjadikan pelacuran sebagai pendapatan.

Seksyen 21 Akta Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan denda dan sebatan untuk menghukum “mana-mana wanita yang melacurkan diri”.

Ia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Di bawah undang-undang ini, menjadi kesalahan untuk seseorang (yang tahu atau mempunyai alasan untuk percaya mereka menghidap HIV) melakukan apa-apa tindakan yang mereka tahu atau mempunyai alasan untuk percaya kemungkinan menyebabkan penyebaran HIV.

sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/06/seks-dalam-bandar-realiti-tersembunyi/

COMMENTS