Terkait dengan dakwaan menjalin hubungan sulit dengan seorang pemuzik, penyanyi Ernie Zakri menganggap tuduhan tersebut sebagai sesuatu yang tidak berasas dan mungkin sengaja diciptakan oleh peminat yang terlampau obses.
Pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 31 tahun turut mendakwa bahawa fitnah serupa pernah dilemparkan kepadanya sebelum dia berkahwin dengan Syamel beberapa tahun yang lalu.
“Seboleh-bolehnya saya enggan melayan isu ini kerana membuang waktu dan tenaga saya yang memang sudah diganggu individu sama sejak beberapa tahun.
“Saya rasa dia tak layak mendapatkan apa-apa komen daripada saya, bahkan saya tak mahu tahu kewujudan mereka.
“Pada akhirnya, saya dan keluarga tahu kehidupan kami. Semoga Allah pelihara hubungan saya dan Syamel,” katanya ketika ditemui pada sesi Meet And Greet Paling Ikonik AJL38 yang berlangsung di Pasar Seni, hari ini.
Dia turut mendakwa pemfitnah tersebut mempunyai masalah mental kerana begitu mengambil tahu perihal keluarganya hingga sebegitu rupa.
“Saya rasa pemuzik itu turut menerima mesej gangguan sama macam saya dan Syamel dapat termasuk tuduhan serta fitnah.
“Bersandarkan keadaannya, saya rasa orang itu mempunyai masalah mental. Jadi kenapa kita nak layan orang yang kurang berakal.
“Saya juga syak kami diganggu orang yang sama. Ketika diberitahu perkara ini, kami gelak saja sebab mesej serupa dah selalu kami dapat dan mintanya jangan melayan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, seorang pemuzik tampil menafikan dakwaan bahawa dia mempunyai hubungan dengan Ernie disebabkan memakai baju yang serupa serta turut menjawab tuduhan yang dilemparkan dalam media sosial.