Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu bakal mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang mendakwanya sebagai ahli Freemason.
Pengguna facebook terbabit juga mengaitkan kematian arwah isterinya Siti Sarah dengan kumpulan yang bermula dengan huruf F iaitu Freemason.
Malah Shuib mengatakan mahu berjumpa sendiri dengan pemilik facebook berkenaan dalam tempoh 24 jam.
“Banyak hari saya sabar, hari ini saya terpanggil untuk berkenalan dengan Mamat ini yang mana tulisannya terlalu hebat dan berani.
“Kenapa kau libatkan arwah isteri aku Siti Sarah? Freemason? Apa yang kau tahu? Meh cakap depan-depan aku!
“24 jam cari aku! Peguam tengah jalankan kerja. Tunggu!” katanya.
Shuib berkongsi perkara itu di laman sosial miliknya bersama ciapan cyberbully terbabit.
Mengikut hantaran terbabit, individu terbabit mendakwa Shuib mengorbankan arwah isterinya Siti Sarah kerana mahu membuktikan kesan apabila tidak mengambil vaksin Covid-19.
“Tak sangka eh bekas Mat Kilang ini ahli F juga, pasal arwah SS (Siti Sarah) itu pun kita memang tahu dia dipaksa untuk ditidurkan sebab mamat ini nak buktikan pada ibu-ibu mengandung di luar sana yang kalau kau tak cucuk vaks (vaksin) kau berisiko tinggi untuk mati.
“Dan benda itu viral dan berduyun-duyun ibu mengandung yang pergi cucuk,” tulis individu itu dalam hantaran tersebut.
Arwah Siti Sarah meninggal dunia ketika dijangkiti covid-19 pada tahun 2021 dan melahirkan anak bongsunya Ayash Affan secara pembedahan.