Dituduh buang vaksin semasa cucuk anak KJ, ini jawapan jururawat terbabit

Tular satu video anak bongsu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Raif mendapatkan suntikan vaksin namun ramai yang mempertikaikan dan menyatakan jururawat yang bertugas telah membuang vaksin sebelum dicucuk.

Selepas dipertikaikan netizen, jururawat terbabit menafikan tuduhan itu menjelaskan beliau terpaksa memegang jarum suntik ke bawah supaya tidak mengundang ketakutan kepada anak menteri terbabit.

Bahkan jururawat berkenaan juga menjelaskan beliau sudah menunjukkan jumlah vaksin yang ada di picagari kepada Khairy iaitu 0.2ml Pfizer untuk kanak-kanak.

“Demi Allah saya tidak ada keluarkan apa-apa vaksin yang tidak dimasukkan kepada badan budak itu. Saya terpaksa buat seperti itu supaya dia tidak lari atau bergerak dari saya.

“Saya turunka ke bawah jarum suntik itu supaya dia tidak takut, bila dia nampak tenang dan tidak bergerak saya cepat-cepat suntik dia,” kata jururawat itu yang disiarkan dalam FB KKM.

Video yang dirakam Khairy itu turut kedengar suaranya yang meminta jururawat memastikan ada vaksin di picagari.

“Tengok betul-betul doktor, bukan cucuk angin kan? Anti-vaksin ni tuduh macam-macam,” kata Khairy.

Terdahulu Khairy, menggesa agar ibu bapa di luar sana segera mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun ramai pihak yang mahukan beliau terlebih dahulu mendaftar dan membenarkan suntikan untuk anakanya sebelum memaksa ibu bapa di luar sana.

Pada 3 Januari 2022, Khairy memaklumkan sudah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun itu untuk menerima suntikan vaksin menerusi tempahan di aplikasi MySejahtera.