Pengurus Besar Suria FM dan penyampai radio, DJ Lin, mengakui berasa sedih dan terkejut dengan kata-kata yang diucapkan oleh bekas penyampai Tyzo, pada hari terakhir kontraknya yang berakhir pada 12 Januari lalu.
DJ Lin atau nama penuhnya, Roslinda Abdul Majid, menyatakan masih berasa sedih dan terkejut setelah mendengar kenyataan Tyzo yang mendakwa bahawa dia mengalami penindasan ketika mengucapkan terima kasih pada hari terakhirnya bersiaran ke udara.
Perasaan sedihnya itu menjadi lebih mendalam terutama kerana selama ini hubungannya dengan Tyzo begitu erat seperti adik-beradik.
“Saya sangat sedih dan tidak sangka Tyzo tergamak keluarkan kata-kata sebegitu (dianiaya). Selama ini hubungan kami ibarat adik beradik.
“Saya tidak tahu masalah dia sehingga sanggup mengeluarkan perkataan itu.
“Saya telah menganggap Tyzo seperti adik sendiri kerana kami sudah saling mengenali sejak 2006 lagi sewaktu dia bertugas di Suria FM sehingga tamat kontrak pada 2012,” katanya.
Tambah DJ Lin lagi, ketika dia dilantik sebagai Pengurus Besar Suria FM, antara perkara pertama yang dibuat adalah memanggil kembali tiga bekas penyampai dan salah seorangnya adalah Tyzo.
“Ketika saya usulkan nama dia kepada pihak pengurusan tertinggi Suria FM, Alhamdulillah dia diberi rezeki untuk kembali berkhidmat semula pada 2016.
“Sejak itu juga hubungan kami semakin rapat. Saya tak nampak di mana silapnya. Saya tidak mengatakan orang tak berhak benci saya, cuma saya sayangkan ikatan yang sudah terjalin,” katanya.
Dia juga akui belum bersedia bertentang 4 mata dengan bekas penyampai itu dan hanya mahu pengurusan tertinggi Suria FM yang mengendalikan hal itu.
“Kalau dia nak jumlah biarlah antara dia dengan pihak pengurusan Suria FM saja,” katanya.