Doakan Terengganu, mangsa banjir kini cecah lebih 11,000 orang

Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan kini berjumlah 11,137 orang berbanding 6,963 orang pada jam 8 malam semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 3,026 mangsa dari 827 keluarga sudah dipindahkan ke 22 PPS yang telah diaktifkan di sana.

“Mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu pula kini seramai 2,946 orang dari 950 buah keluarga dan semua mereka ditempatkan di 27 PPS yang diaktifkan di sana.

“Bagi daerah Besut, sebanyak 44 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 2,187 mangsa yang terjejas banjir diikuti Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 3,177 keluarga terjejas ditempatkan di 157 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sementara itu Sekretariat JPBN berkata, jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus juga bertambah dengan 407 penduduk daripada 116 keluarga terjejas kini dipindahkan kelapan PPS susulan kenaikan air di kediaman masing-masing.

Katanya, sebanyak dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 53 mangsa yang terjejas.

“Di Marang, keadaan banjir di daerah itu tidak berubah dengan satu PPS kekal dibuka di sana bagi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga.

“Keadaan cuaca di Hulu Terengganu sekarang masih hujan manakala Setiu, Marang dan Besut hujan renyai. Di Dungun dan Kemaman adalah mendung dan cuaca dilihat cerah di Kuala Terengganu,” katanya.