Penyanyi dan penyampai radio terkenal, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi bin Ani mendakwa dirinya pernah berdepan dengan sakaratul maut.
Ia didedahkan dalam satu podcast yang dimuat naik di YouTube KerulSeries.
Menurut pelantun lagu Kian itu, dia turut mengalami muntah darah sebelum disahkan telah meninggal dunia selama 15 minit.
“Waktu itu saya muntah darah dan disahkan mati 15 minit, kemudiannya saya hidup balik.”
“Betul bro, ini real. Jantung saya berhenti.”
“Masa itu yang ada tengok saya ialah pak cik saya, isteri saya dan kembar dia.”
Tambahnya lagi, ahli keluarganya mahu membacakan yasin untuknya setelah disahkan tidak lagi bernyawa.
“Nurse pun datang tengok saya memang dah tak ada dah.”
“Dan diorang (yang ada) dah plan nak bacakan surah Yasin dah untuk saya sekali, saya buka mata balik.”
Dia yang masih terkejut turut menceritakan liang romanya seperti tersiat apabila sedang berdepan dengan sakaratul maut tersebut.
Malahan pengalaman tersebut masih segar diingatannya untuk diceritakan kepada para pendengar.
“Masa itu waktu asar, saya rasa macam ada benda (roh) masuk bahagian kaki saya dan naik sampai ke lutut kemudian dia keluar.”
“Lepas itu, dia masuk dari lutut sampai ke pinggang dan leher kemudian dia keluar lagi. Maksudnya bahagian badan saya dah mati, tinggal kepala je yang masih hidup dan boleh bergerak.”
“Sampai je di bahagian kepala seakan dah nak keluar roh itu, saya terasa di bahagian liang roma kulit macam kena siat dan mengembang. Macam ada benda nak keluar daripada jasad kita.”
“Dan masa dia nak keluar itu, saya nampak semua benda berpusing dan bersepai macam nak kiamat.”
“Lepas itu benda itu terus keluar dari kepala saya dan sebab itulah saya disahkan mati selama 15 minit.”