Dr Rozaimi sokong agamawan bergabung bantu mangsa seksual ustaz selebriti

Menyebarkan video salah laku seseorang yang mengandungi pembukaan aurat adalah salah dan tidak bermoral. Saya kira kita semua mesti bersepakat dalam isu ini.

Namun, menolong mangsa-mangsa yang diganggu oleh pemangsa amang seks/sexual grooming adalah usaha yang patut disokong.

Kita perlu sedar bahawa proses memujuk mangsa untuk tampil tidak mudah kerana ia melibatkan maruah mereka. Tambahan pula jika kes melibatkan trauma dan insan yang terlibat pula adalah tokoh besar dan dianggap “suci”.

Begitu juga memberi peringatan kepada orang awam tentang kewujudan watak agama yang menjadi pemangsa tanpa menuduh secara spesifik juga adalah penting supaya semua pihak berhati-hati dan berwaspada.

Kita tidak tahu berapa ramai yang sudah diganggu dan berapa ramai pula yang akan diganggu.

Justeru, saya menyeru kepada kita untuk bersepakat dalam isu utama berikut:

1. Membantah penyebaran video yang mendedahkan aurat pelaku.

2. Menyokong mangsa yang diganggu untuk tampil memberikan bukti kepada pihak berkuasa supaya kezaliman ini dapat dihentikan.

3. Mengelakkan diri daripada mencaci dan memfitnah orang tanpa bukti.

4. Mengharapkan agar keadilan dapat terlaksana.

Dr Rozaimi Ramle